
Ketua Puteri Umno Kedah Nuraini Yusoff berkata tindakan beberapa pemimpin PKR yang ‘menyambut’ hasrat Tengku Zafrul Aziz menyertai parti itu juga amat mengecewakan, tanpa memikirkan adab dan semangat setiakawan dalam kerajaan.
“Langkah ini bukan sahaja mencalarkan semangat kerajaan perpaduan, malah memberi gambaran seolah-olah prinsip boleh dikompromi demi strategi politik jangka pendek.
“Drama demi drama hanya akan menghakis keyakinan rakyat, terutama anak muda terhadap keseriusan kita menjaga kestabilan kerajaan.
“Jangan sampai tindakan ini memberi mesej salah sehingga menyebabkan rakyat memilih untuk menghukum kerajaan perpaduan pada PRU16 nanti,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, Ketua Pemuda PKR Kamil Munim berkata penyertaan menteri pelaburan, perdagangan dan industri ke dalam parti itu mampu menarik sokongan pelbagai pihak untuk membina sebuah negara yang lebih progresif, adil dan inklusif.
Jumaat lalu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli majlis kerja tertinggi Umno dan ketua bahagian Kota Raja. Beliau turut umum keluar parti dan berhasrat menyertai PKR.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Kedah Raqib Abu Hassan menyifatkan tindakan Tengku Zafrul ibarat membakar jambatan perpaduan antara parti yang bersama di Putrajaya.
Menurutnya, kerjasama antara parti dalam kerajaan tidak bermakna jika rakan gabungan boleh menerima mana-mana individu yang mengkhianati parti tanpa perbincangan dan pertimbangan bersama.
“Ini soal menghormati sempadan dan kepercayaan antara parti. Jika budaya lompat parti seperti ini mula diraikan maka jangan salahkan rakyat jika hilang keyakinan terhadap kestabilan kerajaan yang kita bina bersama,” katanya.