
Zaliha berkata pembangunan di 102 ekar tanah juga akan mendukung nilai-nilai Madani selari dengan visi Bandar CHASE (Bersih, Sihat, Maju, Selamat dan Mesra Alam).
“Kota Madani bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk dan dibina secara vertikal berintensiti tinggi.
“Reka bentuknya mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan, prasarana digital berkecekapan tinggi dan sistem mobiliti hijau.
“Ini menjadi asas kepada sebuah bandar rendah karbon yang menjunjung prinsip kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam,” katanya yang menyifatkannya sebagai pelaburan strategik jangka panjang menjadikan Putrajaya bandar contoh.
Majlis pecah tanah dijadualkan pada 26 Jun.
Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata konsep Kota Madani menekankan kemudahan asas menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat.
“Saya dimaklumkan bahawa antara kemudahan dirancang termasuk sekolah menegak, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), institusi kewangan, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan sebuah masjid, semuanya dibangunkan berdekatan kawasan perumahan.
“Fasa pertama melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.
“Reka bentuk masjid dan sekolah akan menampilkan unsur budaya tempatan, sejajar dengan usaha mengekalkan seni bina dan warisan,”katanya.