‘Nyah aura Rafizi’, beri pemimpin baharu peluang, PKR diberitahu

‘Nyah aura Rafizi’, beri pemimpin baharu peluang, PKR diberitahu

Penganalisis berkata tiba masa PKR bergerak bawah kepimpinan baharu seperti Nurul Izzah Anwar, Amirudin Shari, Chang Lih Kang dan R Ramanan dalam membawa pembaharuan.

lapiji
Penganalisis berkata walaupun Rafizi Ramli tidak mahu terima jawatan lantikan, PKR mungkin boleh guna pengaruh Ahli Parlimen Pandan sebagai pemikir dengan beri nilai strategik dari luar barisan kepimpinan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PKR perlu keluar daripada bayangan dan aura Rafizi Ramli selepas bekas timbalan presiden itu bertekad tidak mahu menerima jawatan lantikan, kata penganalisis politik.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, tiba masa PKR bergerak bawah kepimpinan baharu seperti Nurul Izzah Anwar, Amirudin Shari, Chang Lih Kang dan R Ramanan dalam membawa pembaharuan parti termasuk membuktikan keupayaan strategik menghadapi PRN Sabah serta PRU16.

Awang Azman Pawi
Awang Azman Pawi.

Katanya, ia juga dapat memberi isyarat yang PKR tidak bergantung kepada satu figura sahaja.

“…menunjukkan parti sedang menyusun semula kekuatannya mengikut kehendak akar umbi, bukan nostalgia atau personaliti,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Rafizi mendedahkan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pernah mencadangkan diwujudkan jawatan timbalan presiden dilantik, untuk ditawarkan kepadanya.

Bagaimanapun, Rafizi menolak cadangan itu kerana sejak awal lagi beliau menjelaskan tidak akan menerima sebarang jawatan dalam PKR.

Dalam pada itu, Awang Azman berkata PKR tidak akan ‘tempang atau berkubur’ tanpa Rafizi dalam barisan kepimpinan kerana parti itu sudah melalui pelbagai sejarah serta episod kehilangan pemimpin seperti Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Ezam Mohd Nor dan Khalid Ibrahim.

“Kebergantungan kepada Rafizi adalah naratif lama yang perlu direformasi oleh PKR. Kekuatan sebenar PKR bukan pada individu tetapi kemampuan menggembleng tenaga akar umbi.

“Langkah ini akan membuktikan PKR sudah cukup matang untuk berdiri sendiri, membina pemimpin baharu dan keluar daripada bayang tokoh lama. PKR harus mengelak daripada kelihatan bergantung kepada susuk yang tidak lagi ingin terlibat secara langsung kerana ini boleh mencerminkan ketandusan pemimpin pelapis,” katanya.

Katanya, walaupun Rafizi bertegas tidak mahu menerima sebarang jawatan lantikan, PKR mungkin boleh menggunakan pengaruh Ahli Parlimen Pandan itu sebagai pemikir
dengan memberi nilai strategik dari luar barisan kepimpinan.

“Rafizi boleh menjadi penasihat tidak rasmi kepada menteri PKR. Beri sumbangan idea dalam penulisan dasar, kertas cadangan atau gerak kerja pilihan raya selain bimbingan kepada pemimpin muda dalam bentuk ‘mentorship’. Ini cara lebih bermaruah dan fleksibel untuk terus melibatkan Rafizi,” katanya.

Ariff Aizuddin Azlan
Ariff Aizuddin Azlan.

Sementara itu, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berkata, jika PKR masih mahu menggunakan khidmat Rafizi, barisan pemimpin parti perlu ‘berdamai’ dengan mengadakan perbincangan secara tertutup dengan bekas menteri ekonomi dan menyelesaikan masalah utama.

“Sama ada Rafizi kekal atau tidak dalam PKR tidak memberikan kesan sangat signifikan, cuma dalam hal ini PKR perlu menghargai figura penting seperti Rafizi agar tidak menimbulkan persepsi negatif yang akan mengakibatkan orang ramai menjauhkan diri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.