Kerajaan Sabah tepis dakwaan main politik laksana projek jalan raya

Kerajaan Sabah tepis dakwaan main politik laksana projek jalan raya

Menteri Sabah berkata kenyataan Bung Moktar Radin kurang tepat sambil perjelas JKR dan kerajaan negeri tak pernah abai kawasan DUN dalam kerja penyelenggaraan.

Gambar selenggara jalan di Kinabatangan yang dikongsi Menteri Kerja Raya Sabah Shahelmey Yahya.
PETALING JAYA:
Kerajaan Sabah tepis dakwaan ia bermain politik dalam hal baik pulih jalan raya di Parlimen Kinabatangan susulan pertanyaan wakil rakyatnya, Bung Moktar Radin.

Menteri Kerja Raya Sabah, Shahelmey Yahya, berkata Jabatan Kerja Raya dan kerajaan negeri tidak mengabaikan mana-mana kawasan dalam pelaksanaan kerja penyelenggaraan jalan, apatah lagi laluan utama yang menghubungkan Sandakan dan Lahad Datu.

“Laluan tersebut adalah satu-satunya laluan utama jalan persekutuan menghubungkan Batu 32 Sandakan-Lahad Datu yang digunakan oleh pengguna jalan raya yang majoritinya adalah rakyat Malaysia,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Bung dilapor mendakwa jalan-jalan utama di kawasan beliau, khususnya di sekitar Bukit Garam, Sukau dan laluan utama dari Sandakan ke Lahad Datu, tidak diberi perhatian, ketika kerja-kerja baik pulih jalan berlubang sedang berjalan di pelbagai tempat, termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB).

Bung turut mengajukan pertanyaan adakah kawasan beliau disisihkan kerana perbezaan politik, lapor Sinar Harian. Bung adalah ketua Umno Sabah dan pengerusi Barisan Nasional di negeri itu.

Shahelmey menjelaskan hampir keseluruhan jajaran jalan persekutuan di kawasan Kinabatangan termasuk dalam skop projek LPB, yang melibatkan kerja naik taraf jalan. Kerja naik taraf itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2029.

Sepanjang tempoh pembinaan LPB, semua kerja penyelenggaraan akan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik bagi setiap pakej kerja, katanya.

“Sekiranya kontraktor gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut, pihak ketiga akan dilantik bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat diteruskan tanpa menjejaskan keselamatan pengguna jalan,” katanya.

Sambil menunjukkan gambar jalan yang diselenggara di Kinabatangan, Shahelmey memaklumkan kerja penyelenggaraan secara ‘heavy patching’ di kawasan tersebut dijadualkan bermula pada pertengahan Jun 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.