Bung perlu muhasabah dalam bab kesetiaan, jawab Joniston

Bung perlu muhasabah dalam bab kesetiaan, jawab Joniston

Ketua Penerangan GRS Joniston Bangkuai kata Ketua Umno Sabah Bung Moktar yang melakukan pengkhianatan.

Joniston Bangkuai
Ketua Penerangan Joniston Bangkuai kata GRS tak bergantung pada Umno Sabah. (Gambar Japen)
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Joniston Bangkuai membidas Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, kerana berkata sukar bekerjasama dengan GRS ekoran pengkhianatan pada masa lalu.

Joniston yang juga ketua penerangan Parti Bersatu Sabah berkata, Bung perlu bermuhasabah apabila bercakap mengenai kesetiaan atau keikhlasan.

“Bung yang bersekongkol dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat pada Januari 2023 untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor,” katanya dalam kenyataan.

“Bung tidak dikhianati, dia yang melakukan pengkhianatan.

“Walaupun semasa duduk dalam Jemaah Menteri negeri, beliau tidak menghormati rakan-rakan dalam kerajaan negeri yang dipimpin oleh Hajiji.”

Joniston berkata, semasa krisis politik berlaku, beberapa Adun Umno enggan menyokong tindakan Bung lalu memberi sokongan kepada Hajiji, begitu juga Pakatan Harapan.

“Jika ada orang yang perlu bermuhasabah, Bung orangnya.

“Mengapa rakan anda sendiri meninggalkan ‘Kinabalu Move’?

“Mengapa PH menyokong Hajiji dan bukannya anda? Jawapannya jelas: kepercayaan bukan pada anda,” katanya.

Joniston berkata, GRS tidak pernah bergantung pada Umno, mengulangi gabungan itu bersedia untuk menghadapi PRN akan datang secara bebas.

Terdahulu, Bung berkata Umno Sabah hanya akan menimbangkan kerjasama dengan GRS selepas PRN17.

Menurutnya, ‘sejarah hitam dan pahit’ yang pernah dilalui Umno Sabah ketika bersama GRS menyebabkan Umno Sabah perlu berhati-hati dan menilai kerjasama dengan gabungan itu.

PH dan BN mengumumkan kerjasama untuk PRN yang mesti diadakan menjelang akhir tahun ini. Pengumuman itu membawa kepada GRS menyatakan kesediaan untuk bertanding secara solo.

GRS dan PH kini bersekutu dalam pentadbiran Hajiji manakala BN menjadi pembangkang di DUN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.