
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar berkata rekod cemerlang jemaah Malaysia menjaga kebersihan sejak beberapa tahun lepas turut mendapat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi.
“Malah, dalam satu ucapan, Menteri Haji dan Umrah Tawfiq Fawzan Al-Rabiah secara berseloroh menyatakan jika semua jemaah di dunia bersikap seperti jemaah Malaysia, beliau boleh tidur dengan tenang,” katanya selepas majlis bersama jemaah haji.
Beliau berkata kenyataan Tawfiq menggambarkan kepercayaan dan penghargaan pihak Saudi terhadap usaha berterusan Tabung Haji (TH) bersama jemaah Malaysia dalam menjaga kebersihan sepanjang ibadah haji.
“Kempen ini bukan sekadar kempen kesedaran tetapi menjadi model yang boleh dicontohi oleh negara lain. TH harap pada tahun ini, jemaah Malaysia terus mengekalkan rekod cemerlang ini dan sekali lagi menunjukkan contoh terbaik kepada jemaah antarabangsa,” katanya.
Na’im berkata kempen tahun ini diperluaskan ke semua tujuh bangunan penginapan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci, termasuk bangunan baharu di Abraj Al Tayseer.
“Ini adalah cerminan disiplin, sikap dan budaya jemaah haji Malaysia yang kita banggakan,” katanya.
“Kita mahu agar jemaah tahun 2025 mengekalkan rekod cemerlang yang dicapai sebelum ini. Apabila jemaah kita meninggalkan Masya’ir, kawasan itu berada dalam keadaan bersih dan menjadi contoh kepada jemaah dari negara lain.”