
Rais Yatim mengingatkan ahli Dewan Negara tidak dipilih oleh rakyat sebaliknya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atau kerajaan negeri.
“Mereka tidak mewakili parti secara langsung. Pelantikan mereka tidak menyebut parti secara nyata, hanya secara tersirat. Maka mereka tidak boleh mendakwa diri mereka mewakili Umno, Bersatu atau mana-mana parti,” katanya, lapor Utusan Malaysia.
Perkara ini berbeza dengan ahli Dewan Rakyat yang bertanding pilihan raya atas tiket parti dan dipilih oleh rakyat, tambahnya.
“Dalam konteks itu, undang-undang anti lompat parti adalah wajar, namun tidak kepada Dewan Negara,” katanya.
Rais yang merupakan Yang di-Pertua Dewan Negara dari Sept 2020 hingga Jun 2023, juga berkata undang-undang antilompat parti “masih mempunyai kelemahan”.
Semalam, Umno memaklumkan biro undang-undang parti itu akan meneliti implikasi undang-undang antilompat parti bagi memastikan tindakan lanjut mematuhi kerangka perundangan, selepas Senator Tengku Zafrul Aziz umum lepas keahlian Umno dan hasrat sertai PKR.
Beliau yang dilantik oleh Agong itu mengumumkan perkara demikian pada Jumaat, selepas mengambil kira pelbagai faktor terutama keserasian dan kesesuaian.
Spekulasi berkait kedudukan politik Tengku Zafrul sering dibangkitkan kebelakangan ini kerana tempohnya sebagai Ahli Dewan Negara akan tamat Disember.
Beliau merupakan menteri pelaburan, perdagangan dan industri dalam pentadbiran Anwar Ibrahim, dan berhubung jawatan itu, Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said berkata perwakilan dalam Jemaah Menteri disandang atas mandat parti.