
Penasihat khas dan felo kanan tetap di Institut Montaigne di Paris, Michel Duclos, berkata walaupun anggota blok tersebut berkongsi pandangan dunia yang sama, perpecahan berkemungkinan akan muncul dalam kumpulan itu.
“BRICS akan terus wujud kerana mereka ada banyak kepentingan bersama dalam sudut pandang dunia.
“Namun, pertubuhan berkenaan akan menjadi semakin kurang kesepaduan, dan beberapa ketegangan akan mula berlaku antara beberapa negara anggota,” katanya kepada FMT pada Forum Antarabangsa Astana, platform dialog antarabangsa mengenai perubahan iklim, geopolitik, termasuk keterjaminan makanan dan tenaga.
DItanya anggota BRICS yang berkemungkinan diramal bertelagah, Duclos enggan menamakannya tetapi kekal berpegang teguh dengan pandangannya.
“Dengan isu seperti perang dagang atau isu pelbagai geopolitik, sukar melihat BRICS kekal bersatu sepertimana dulu.”
Terma BRICS diambil daripada pembentukan kumpulan ekonomi pada 2009 oleh Brazil, Rusia, India, dan China. Afrika Selatan menyertai blok itu pada 2010, disusuli keanggotaan diperluas melibatkan Iran, Mesir, Ethiopia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Indonesia.
Malaysia menjadi negara rakan BRICS pada 1 Jan lalu dan mungkin akan menjadi anggota penuh.
India dan China, antara negara pengasas BRICS, yang tegang pada masa lalu akibat pertikaian sempadan, termasuk pertembungan berdarah antara tentera mereka di sempadan Himalaya, pada 2020.
Iran dan UAE juga mempunyai pertikaian wilayah di Teluk Parsi, manakala Mesir dan Ethiopia pernah bertelagah berhubung projek Empangan Mega Renaissance Ethiopia, di Sungai Nil.
Pengarah Eksekutif Dasar Keselamatan Geneva Centre, Thomas Greminger, berkata satu daripada alasan perbezaan dalam BRICS adalah setiap negara anggota mempunyai perspektif bertentang terhadap blok berkenaan dan tujuannya.
“Ada pihak jelas menggunakannya sebagai platform anti-Barat, dan ia sememangnya berlaku bagi China dan Rusia, tetapi ada juga langsung tidak melihatnya sedemikian,” katanya kepada FMT.
Katanya, contohnya India dan Brazil melihat kumpulan itu lebih sebagai platform menubuhkan tatanan ekonomi global yang lebih memihak kepada mereka berbanding AS.
“Ia sebahagiannya bersifat politik, bukan agenda anti-Barat. Ia agenda untuk lebih terampil supaya lebih dihormati sebagai kuasa pertengahan atau kuasa kebangkitan.”
Namun begitu, Greminger percaya blok tersebut akan kekal bersatu sekurang-kurangnya dalam jangka sederhana, susulan rasa tidak puas hati ke atas tatanan dunia yang dianggap digarap Barat.
Beliau merujuk kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membuat reformasi terhadap Majlis Keselamatan antara sebab beberapa negara beralih ke BRICS. “Saya fikir ia pada dasarnya bermula dengan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat terhadap institusi multilateral tradisional.”
Justeru, BRICS berkemungkinan akan kekal relevan dalam jangka sederhana, melainkan pertubuhan serantau dan global lain melakukan reformasi mereka untuk menjadi lebih inklusif, katanya.