
Beliau berkata, perpaduan itu asas kepada pembangunan negara, selain menjadi pemangkin kemajuan Malaysia.
“Malaysia hanya akan terus teguh. jika kita kukuh berpadu.
“Kestabilan dan perpaduan nasional adalah syarat asas kepada segala kemajuan. Dalam dunia yang cepat berubah dan sarat cabaran, perpaduan bukan pilihan, ia adalah keperluan.”
Beliau berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Berangkat pada istiadat itu Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Awang Bemee Awang Ali Basah.
Hadir bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan menteri Kabinet.
Anwar berkata, kerajaan di bawah naungan dan titah pandu Seri Paduka Baginda akan terus komited melaksanakan agenda reformasi menyeluruh berpaksikan prinsip yang Madani.
“Pembangunan kebendaan semata tentunya tidak mencukupi. Malah, mesti diseimbangkan dengan nilai-nilai manusiawi, keadilan sosial dan karamah insaniah.”
Menurutnya, pembangunan prasarana dan kemudahan awam tidak terbatas kepada projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), sebaliknya kemudahan asas seperti sekolah, hospital serta jaringan pengangkutan perlu diperbaiki, dinaik taraf dan ditingkatkan.
“Rakyat tidak hanya dijanjikan harapan, tetapi juga dibela secara nyata dan berterusan,” katanya sambil menekankan strategi meningkatkan pendapatan rakyat akan terus digerakkan melalui reformasi struktur ekonomi, kemasukan pelaburan berkualiti tinggi serta pengukuhan ekosistem teknologi dan inovasi.
Beliau berkata, setiap anak watan harus berpeluang untuk maju, tanpa mengira latar belakang kaum atau budaya.