Kerajaan teliti akta, fokus peranan ibu bapa cegah dera kanak-kanak

Kerajaan teliti akta, fokus peranan ibu bapa cegah dera kanak-kanak

Ia termasuk cadangan pindaan mewajibkan pemantauan tingkah laku dalam talian anak serta penyertaan aktif dalam program kesedaran dan pendidikan keselamatan digital.

Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said (tiga dari kiri) dalam siri lawatan ke Uzbekistan untuk menghadiri Tashkent Law Spring International Legal Forum 2025. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Kerajaan sedang meneliti beberapa peruntukan undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan kewajipan lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga dalam usaha mencegah penderaan serta pengantunan kanak-kanak.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata ia termasuk cadangan pindaan mewajibkan pemantauan tingkah laku dalam talian anak serta penyertaan aktif dalam program kesedaran dan pendidikan keselamatan digital.

“Pendekatan ini selaras prinsip tanggungjawab bersama dalam melindungi generasi masa depan daripada ancaman jenayah seksual dalam era digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azalina yang dalam siri lawatan ke Uzbekistan untuk menghadiri Tashkent Law Spring International Legal Forum 2025 turut diberi penghormatan menyampaikan ucaptama bertajuk “Creating a Safer Digital Future: Malaysia’s Legislative Approach to Online Child Protection” pada hari pertama forum itu.

Menerusi ucaptama itu, Azalina menyeru komuniti perundangan antarabangsa memikul tanggungjawab moral bersama dalam memastikan pihak terbabit jenayah terhadap kanak-kanak dibawa ke muka pengadilan tanpa pengecualian.

Beliau juga berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Menteri Keadilan Uzbekistan, Akbar Tashkulov dengan kedua-dua pihak bersetuju menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) baharu pada 30 Mei lalu.

“MoU ini akan berkuat kuasa selama tiga tahun dan meliputi aspek penting seperti pertukaran kepakaran perundangan, kerjasama dalam pembaharuan institusi keadilan dan pengukuhan kapasiti sistem kehakiman kedua-dua negara.

“Langkah ini amat bererti dalam menyokong usaha ke arah sistem perundangan lebih responsif dan dinamik,” kata Azalina.

Turut berlangsung pertemuan dua hala antara Azalina dengan Menteri Keadilan dan Menteri Negara bagi Hal Ehwal Kabinet Qatar, Ibrahim Ali Issa Al Hassan Al Mohannadi, yang membuka lembaran baharu kerjasama strategik antara Malaysia dan Qatar dalam pelbagai aspek reformasi undang-undang, termasuk amalan terbaik global dalam perlindungan hak asasi manusia dan tadbir urus keadilan.

“Saya percaya hubungan dua hala seperti ini bukan saja mengukuhkan hubungan diplomatik, malah memperluas horizon reformasi institusi negara ke peringkat antarabangsa.”

Azalina turut menerima kunjungan hormat Ketua Bahagian dan Kaunselor Kanan, Direktorat Tadbir Urus Awam, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Tatyana Teplova.

Pertemuan itu menandakan permulaan kerjasama strategik antara Malaysia dan OECD, khususnya dalam aspek pengukuhan sistem keadilan, menegakkan kedaulatan undang-undang dan mempertingkatkan tadbir urus digital negara.

“Saya juga menyatakan hasrat agar Malaysia memperoleh sokongan kepakaran OECD dalam melaksanakan harmonisasi undang-undang dengan standard antarabangsa, tanpa mengetepikan realiti tempatan dan aspirasi kerajaan terhadap reformasi institusi mampan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.