19 kambing mati, 4 kenderaan musnah kandang terbakar

19 kambing mati, 4 kenderaan musnah kandang terbakar

Hanya seekor kambing berjaya diselamatkan selepas kandang kelas C itu musnah 90%.

kambing mati dalam kebakaran
Anggota bomba memadam kebakaran kandang kambing di Kampung Jawa, Bayan Lepas, Pulau Pinang. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Sebanyak 19 kambing mati selepas kandang menempatkan ternakan itu terbakar di Kampung Jawa, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 12.58 tengah hari.

“Kandang kambing kelas C itu musnah 90%. Hanya seekor kambing berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.

Beliau berkata, kejadian turut mengakibatkan tiga kereta dan sebuah lori satu tan yang berada berhampiran kandang itu terbakar antara 30 hingga 90%.

John berkata, operasi pemadaman dilakukan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bersama dua jentera.

“Api dapat dikawal pada 1.07 tengah hari sebelum kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 2 petang,” katanya memaklumkan punca dan jumlah kerugian sedang disiasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.