Pemandu potong barisan di pusat pemeriksaan Singapura boleh disenarai hitam

Pemandu potong barisan di pusat pemeriksaan Singapura boleh disenarai hitam

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura berkata pihaknya akan memantau pemandu yang tidak bertimbang rasa.

woodlands checkpoint
Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura berkata trafik dijangka sesak di kedua-dua pusat pemeriksaan darat semasa cuti sekolah pada Jun, terutamanya sepanjang hujung minggu Hari Raya Aidiladha antara 6 hingga 9 Jun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Singapura memberi amaran kepada pemandu, termasuk rakyat Malaysia, bahawa mereka boleh dikenakan penalti, termasuk disenaraihitamkan sekiranya memotong barisan di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata pihaknya akan memantau pemandu yang tidak bertimbang rasa, terutamanya ketika musim cuti sekolah pada bulan ini, lapor The Straits Times.

Ketua di pusat operasi bersepadu di pusat pemeriksaan Woodlands, Mardiana Masdar berkata pegawai lapangan yang mengesan kenderaan memotong barisan akan memaklumkan pasukan di pusat operasi.

Mereka akan menyampaikan maklumat ini kepada pengawal trafik berhampiran pusat pemeriksaan untuk mengarahkan kenderaan terbabit membuat pusingan-U untuk masuk semula barisan.

“Jika pemandu itu enggan mematuhi arahan, kami akan merujuk mereka ke pejabat kami, di mana kami boleh menunjukkan rakaman CCTV mereka memotong barisan,” katanya.

Pada Jun 2023, seorang pemandu Malaysia yang dalam perjalanan dari Singapura ke Malaysia melalui pusat pemeriksaan Woodlands enggan membuat pusingan-U, malah memecut selepas ditahan pegawai ICA kerana cuba memotong barisan.

Disebabkan ketidakpatuhan dan pemanduan berbahaya, pemandu dan kenderaan tersebut diharamkan daripada memasuki Singapura.

ICA berkata trafik dijangka sesak di kedua-dua pusat pemeriksaan darat semasa cuti sekolah pada Jun, terutamanya sepanjang hujung minggu Hari Raya Aidiladha antara 6 hingga 9 Jun.

Pihak berkuasa berkata bahawa sepanjang cuti hujung minggu panjang Hari Wesak antara 8 hingga 13 Mei, lebih tiga juta pengembara melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas.

Jumlah trafik memuncak pada 9 Mei, dengan lebih 546,000 pengembara melepasi pemeriksaan imigresen di kedua-dua pusat pemeriksaan dalam satu hari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.