Kurang ‘status’ punca orang muda tak minat pertanian, kata ahli akademik

Kurang ‘status’ punca orang muda tak minat pertanian, kata ahli akademik

Christopher Teh dari UPM berkata pertanian juga didakwa tidak menawarkan pulangan kewangan setimpal berbanding pekerjaan kolar putih.

sawah padi 1
Laporan interim Banci Pertanian 2024 menunjukkan hanya 22.2% berusia antara 15 hingga 45 tahun menjadi pengendali pertanian, manakala selebihnya berusia 46 tahun ke atas.
PETALING JAYA:
Persepsi bahawa kerjaya dalam bidang pertanian kurang ‘berstatus’ dan tidak menawarkan pulangan tinggi menyebabkan ramai golongan muda tidak berminat menceburi sektor itu, kata seorang ahli akademik.

Christopher Teh daripada Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata laporan Banci Pertanian 2024 yang menunjukkan hanya 22.2% golongan berusia 15 hingga 45 tahun menjadi pengendali pertanian sebagai situasi membimbangkan kepada masa depan keterjaminan makanan.

Teh berkata, negara seperti Indonesia turut berdepan masalah sama dengan petani muda hanya mewakili 3.55% daripada keseluruhan petani manakala dua pertiga petani di Filipina tidak mahu anak mereka meneruskan legasi itu.

Katanya, keadaan itu berpunca daripada persepsi negatif bahawa kerjaya pertanian tidak menawarkan pulangan kewangan setimpal berbanding pekerjaan kolar putih yang sering digambarkan sebagai ‘berstatus’.

Christopher Teh
Christopher Teh.

“Imej petani masih dikaitkan dengan kemiskinan luar bandar dan kerja fizikal mencabar yang tidak selari aspirasi generasi muda yang lebih tertarik kepada kerjaya berteknologi tinggi serta berprestij sosial.

“Walaupun pertanian moden kini melibatkan teknologi canggih dan berpotensi menguntungkan, persepsi negatif ini masih ada. Ini ditambah gaji lebih menarik di sektor lain,” katanya kepada FMT.

Pada 29 Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof melahirkan kebimbangan terhadap cabaran serius sektor pertanian negara yang berdepan masalah tenaga kerja menua, dengan hampir separuh daripada petani kini berusia 60 tahun ke atas.

Fadillah berkata isu itu perlu diatasi segera kerana dibimbangi akan menjejaskan produktiviti dan keupayaan negara untuk mengekalkan pengeluaran makanan.

Mengulas lanjut, Teh berkata bagi menarik minat golongan muda menyertai sektor pertanian kerajaan perlu menggabungkan inisiatif sokongan dan perkhidmatan meliputi geran modal permulaan, pengecualian duti import peralatan moden, bengkel penguasaan teknologi.

Beliau juga mencadangkan penganjuran pertandingan ‘Agri Hackathon’ bagi mencipta prototaip penyelesaian suatu cabaran pertanian sekali gus memberi nilai tambah kepada pembangunan sektor pertanian moden.

“Akses tanah juga perlu ditangani secara kreatif, tanah terbiar milik agensi awam atau swasta boleh diaktifkan semula melalui model perkongsian pendapatan di mana belia diberi hak guna tanpa dikenakan sewa tinggi sementara pemilik tanah berkongsi sebahagian hasil.

“Pendekatan ini bukan sahaja menyelesaikan isu kekurangan tapak, malah mewujudkan jaringan komuniti tani yang mampan di kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Norsida Man
Norsida Man.

Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber UPM, Norsida Man pula mencadangan peningkatan kemudahan pertanian termasuk logistik dan teknologi digital di luar bandar selain keperluan gaya hidup.

Menurutnya, gaji tinggi dan kebajikan juga perlu disediakan majikan untuk memastikan golongan muda kekal berminat dalam sektor pertanian serta membantu meningkatkan produktiviti serta menguntungkan.

“Kerajaan juga perlu bantu pastikan harga produk pertanian tinggi dan stabil; kawal kenaikan kos input ladang, memperbanyakkan penggunaan teknologi, kemudahan baik, latihan dan dasar menyokong pembabitan golongan muda,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.