Kes Najib tunjuk PM tak kebal berdepan saman sivil, kata Takiyuddin

Kes Najib tunjuk PM tak kebal berdepan saman sivil, kata Takiyuddin

Ketua whip PN berkata permohonan rujukan dikemuka Anwar Ibrahim mengundang perbandingan langsung kes yang pernah libatkan bekas perdana menteri.

takiyuddin
Takiyuddin Hassan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2019 memutuskan perdana menteri adalah ‘pegawai awam’ dan boleh disaman kerana salah guna kuasa, justeru menetapkan duluan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Mahkamah Persekutuan berhubung penentuan sama ada beliau ada kekebalan daripada saman sivil mengundang perbandingan langsung satu kes melibatkan bekas perdana menteri, Najib Razak, kata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan.

Dalam kenyataan, Takiyuddin merujuk tindakan Najib memohon kekebalan daripada saman sivil difailkan oleh Ahli Parlimen DAP Tony Pua, atas dakwaan salah guna kuasa dalam berkaitan kes 1MDB.

Takiyuddin, yang seorang peguam, mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan pada 19 Nov 2019, memutuskan perdana menteri adalah ‘pegawai awam’ dan boleh disaman kerana salah guna kuasa.

“Kes ini turut menetapkan suatu duluan penting bahawa seorang perdana menteri tidak kebal daripada sesuatu tindakan sivil atau tort jika berkaitan penyalahgunaan kuasa awam, apatah lagi tindakan yang bersifat peribadi.

“Dengan kata lain, tiada seorang pun warganegara, termasuk perdana menteri, harus berada di atas undang-undang dan tiada sebarang kedudukan boleh digunakan sebagai perisai undang-undang untuk tindakan peribadi,” katanya.

Anwar memohon Mahkamah Tinggi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan, termasuk sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman sivil oleh bekas pembantu penyelidiknya.

Katanya, beliau memohon mahkamah atasan memutuskan sama ada Perkara 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan membenarkan kekebalan bersyarat terhadap saman difailkan Yusoff Rawther, empat tahun lalu.

Saman itu berkait dakwaan kejadian berlaku sebelum Anwar dilantik menjadi perdana menteri, pada 24 Nov 2022.

Dalam permohonan difailkan Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon mahkamah menentukan sama ada saman tersebut menjejaskan pelaksanaan tugas Eksekutifnya secara berkesan dan melemahkan pengasingan kuasa seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.