Biro undang-undang Umno akan teliti implikasi tindakan Tengku Zafrul

Biro undang-undang Umno akan teliti implikasi tindakan Tengku Zafrul

Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said berkata, perwakilan dalam Jemaah Menteri atas mandat parti diwakili, bukan kapasiti peribadi.

azalina
Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said menegaskan, politik individu boleh berubah, tetapi perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara harus kekal. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Biro Undang-Undang Umno telah diminta meneliti implikasi tindakan Tengku Zafrul Aziz keluar parti dan hasratnya menyertai PKR dari aspek akta antilompat dan kedudukannya sebagai senator.

Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said berkata, walaupun parti itu hormat kebebasan setiap individu membuat pilihan politik, namun perwakilan dalam Jemaah Menteri adalah atas mandat parti yang diwakili, bukan kapasiti peribadi.

“Walaupun Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) mempengerusikan Majlis Perpaduan, setiap menteri yang dilantik adalah sebagai wakil rasmi parti masing-masing,

“Umno tetap komited memberi khidmat kepada negara dalam kerangka kerajaan perpaduan dan akan terus menunaikan amanah rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Menteri undang-undang dan reformasi institusi itu turut menegaskan, politik individu boleh berubah, tetapi perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara harus kekal.

Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, PKR belum berbincang dengan Umno mengenai perkara itu dan mahu memberikan ruang kepada Tengku Zafrul untuk melaksanakan ibadah haji terlebih dahulu.

Dalam pada itu, katanya, kedudukan menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu dalam Jemaah Menteri tidak terjejas kerana beliau telah menjalankan tugas dengan sangat baik.

Jumaat lepas, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan ketua bahagian Kota Raja, serta keluar parti dengan hasrat menyertai PKR.

Tindakan itu mengundang pelbagai reaksi daripada beberapa pemimpin Umno termasuk Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh yang menggesa Tengku Zafrul turut meletak jawatan sebagai menteri.

Turut dilaporkan semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi berharap kuota tujuh menteri penuh dapat dikembalikan semula kepada mereka susulan tindakan Tengku Zafrul itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.