Tokan dadah ditahan, polis rampas ganja RM200,000

Tokan dadah ditahan, polis rampas ganja RM200,000

Penahanan suspek dan rampasan itu dibuat dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Melawati, kelmarin.

handcuff
Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali, suspek dipercayai aktif sejak November lepas dan mempunyai dua rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Polis menahan seorang lelaki disyaki tokan dadah dan merampas ganja seberat 69.82kg dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Melawati di sini Khamis lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mat Zani@Mohd Salahuddin Che Ali, berkata ketika pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menemukan 66 ketulan bungkusan mampat ganja bernilai RM216,457 dalam sebuah kereta Toyota Vellfire.

Beliau berkata suspek berusia 44 tahun itu yang berperanan sebagai tokan dipercayai aktif sejak November lepas dan mempunyai dua rekod lampau membabitkan jenayah serta dadah.

“Siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan dibawa masuk dari negara jiran melalui sempadan Perlis sebelum dibawa ke Lembah Klang untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mat Zani berkata pihaknya turut mengambil tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 ke atas motosikal jenis Ducati milik suspek dianggarkan bernilai RM29,500 menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM245,957.

“Hasil ujian saringan awal mendapati suspek negatif dadah dan lelaki itu kini direman tujuh hari hingga 5 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.