
Naib Presiden Umno itu berkata, kedua-dua parti dalam kerajaan perpaduan itu perlu terus bekerjasama demi kestabilan politik negara.
“Sebagai contoh, saya dalam kerajaan (sebagai menteri), ada peranan untuk membangunkan negara, soal politik ini biasalah dan itu semua sepatutnya tidak boleh menjejaskan pakatan kita dalam kerajaan perpaduan dan negara,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kampung Angkat Madani Kementerian Perladangan dan Komoditi di Kampung Parit Bilal hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MKT Umno dan ketua bahagian Kota Raja, serta keluar parti.
Mengenai program hari ini, Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi berkata, RM2.5 juta diperuntukkan kepada Kampung Parit Bilal dan Kampung Parit Ahmad, sebagai Kampung Angkat Madani kementeriannya untuk pelaksanaan pelbagai projek, termasuk menarik taraf fasiliti pendidikan, rumah ibadat serta infrastruktur.
Katanya, inisiatif itu turut melibatkan kerjasama strategik dengan kementerian dan agensi-agensi di bawahnya, Pejabat Daerah Batu Pahat, Pejabat Pembangunan Negeri Johor, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan dan pemimpin komuniti.
“Turut dilaksanakan, aktiviti berkaitan usahawan seperti kursus usahawan coklat dan program bantuan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MyCommodity,” katanya.