Tengku Zafrul keluar parti perlu jadi iktibar, kata pemimpin Umno

Tengku Zafrul keluar parti perlu jadi iktibar, kata pemimpin Umno

Ketua Umno Kluang, Md Jais Sarday berkata Umno jangan ulangi kesilapan bawa masuk tokoh korporat tanpa lalui proses parti.

Mohd Jais Sardi Md Jais Sarday
Ketua Umno Kluang, Md Jais Sarday berkata individu seperti Tengku Zafrul Aziz mungkin mempunyai kemahiran teknikal dan imej baik, namun belum tentu memahami nadi perjuangan parti Melayu itu.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin akar umbi berharap Umno menjadikan isu membabitkan Tengku Zafrul Aziz sebagai satu iktibar dan pengajaran supaya tidak lagi ghairah melantik tokoh korporat ke dalam hierarki kepimpinan parti.

Ketua Umno Kluang, Md Jais Sarday berkata individu seperti Tengku Zafrul mungkin mempunyai kemahiran teknikal dan imej baik, namun belum tentu memahami nadi perjuangan parti Melayu itu.

“Jangan ulangi keghairahan melantik tokoh korporat atau teknokrat ke dalam hierarki parti tanpa melalui proses parti.

“Berikan kepercayaan dan peluang kepada tokoh profesional yang telah melalui proses parti, yang sudah lama berjuang bersama Umno walaupun tidak begitu dikenali,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kesetiaan dan kefahaman terhadap asas perjuangan parti lebih penting daripada nama besar atau profil korporat.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri mengumumkan peletakan jawatan dalam Umno serta keluar parti, selain menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.

Tengku Zafrul, sebelum ini ahli majlis kerja tertinggi Umno dan ketua bahagian Kota Raja, berkata, beliau membuat keputusan itu setelah bermuhasabah dan mengambil kira pelbagai faktor terutama keserasian dan kesesuaian.

Katanya, beliau turut telah menyatakan niat menyertai PKR kepada Presiden Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Fuziah Salleh.

Mengulas lanjut, Jais berkata pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini pernah melantik tokoh korporat untuk membantu kerajaan pusat antaranya bekas gabenor Bank Negara Nor Mohamed Yakcop, bekas CEO MAS Idris Jala dan bekas CEO Maybank Abdul Wahid Omar.

Berbeza dengan Tengku Zafrul, katanya, ketiga-tiga tokoh berkenaan tidak mencampuri urusan parti sebaliknya hanya fokus kepada peranan dan tanggungjawab dalam kerajaan, walaupun ada usaha untuk membawa mereka ke dalam kepimpinan parti.

“Tengku Zafrul pula meletakkan dirinya dalam struktur hierarki Umno, memegang jawatan penting dalam parti tanpa melalui proses biasa yang dilalui oleh ahli lain.

“Justeru, tindakannya meninggalkan parti menimbulkan persoalan terhadap ketulenan komitmen beliau terhadap perjuangan Umno,” katanya.

Beliau berkata sekiranya ada usaha Umno untuk membawa masuk tokoh profesional lagi selepas ini, mereka mesti menepati nilai, semangat dan disiplin perjuangan parti, bukannya sekadar reputasi cemerlang di luar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.