Peraturan LPG dikuatkuasa ketika kamu menteri, Armizan bidas Ka Siong

Peraturan LPG dikuatkuasa ketika kamu menteri, Armizan bidas Ka Siong

Armizan Mohd Ali berkata tiada peraturan baharu atau pemotongan subsidi LPG dibuat pentadbiran ketika ini.

gas lpg gas cylinder
Menteri KPDN Armizan Mohd Ali berkata Ops Gasak bertujuan membanteras aktiviti haram ‘decanting’, penyeludupan dan penyelewengan LPG bersubsidi oleh industri berskala besar dan sederhana. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali membidas Presiden MCA, Wee Ka Siong kerana menuduh kerajaan melaksanakan peraturan baharu termasuk memotong dan memansuh subsidi silinder gas petroleum cecair (LPG) melalui Ops Gasak.

Armizan berkata Ops Gasak yang dilaksanakan bermula 1 Mei hingga 31 Okt untuk mengekang ketirisan subsidi LPG menggunakan kuasa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.

Katanya, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 memperuntukkan bahawa mana-mana pihak menggunakan LPG melebihi 42kg dikehendaki memohon Permit Barang Kawalan Berjadual.

Menurut Armizan, peraturan itu dibuat dan berkuat kuasa sejak 15 Okt 2021, iaitu di bawah pentadbiran kerajaan lalu, ketika Wee menjadi ahli Jemaah Menteri.

“Saya bersangka baik, mungkin kerana peraturan 2021 itu di bawah kementerian lain, maka beliau terlepas pandang dan pasukan beliau juga tidak memberikan nasihat yang tepat kepada beliau sebelum membuat kenyataan umum.

“Sehubungan itu, dengan penuh hormat, saya mencadangkan beliau menyemak peraturan yang dibuat semasa beliau merupakan seorang menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Wee dalam satu video di Facebook mengkritik kerajaan kerana tidak memberikan subsidi kepada peniaga kecil dan larangan terhadap pengusaha makanan daripada menggunakan tong gas bersubsidi domestik.

Katanya, peniaga diarahkan menggunakan tong gas komersial berharga RM70 berbanding tong gas bersubsidi yang berharga RM26.60 bagi berat yang sama iaitu 14kg.

“Jadi akhirnya siapa yang kena tanggung kenaikan harga ini? Siapa yang kena bayar lebih? Jawapannya sudah tentulah rakyat selaku pengguna,” katanya.

Bagaimanapun, Armizan berkata hanya peniaga yang menggunakan lebih tiga tong gas 14kg atau lebih 42kg LPG pada satu-satu masa diwajibkan memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual.

“Maka tidak benar sekiranya disebut semua penjaja dan peniaga dilarang menggunakan tong LPG bersubsidi,” katanya.

Armizan sekali lagi menegaskan penguatkuasaan peraturan itu adalah bertujuan membanteras aktiviti haram ‘decanting’ (pemindahan gas dari tong LPG bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi), penyeludupan dan penggunaan oleh industri berskala besar dan sederhana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.