Penyertaan Tengku Zafrul mampu perluas sokongan untuk PKR, kata Kamil

Penyertaan Tengku Zafrul mampu perluas sokongan untuk PKR, kata Kamil

Keterbukaan PKR terima tokoh profesional bukti parti itu sedia pimpin masa depan negara, kata ketua Pemuda PKR.

kamil munim
Ketua Pemuda PKR Kamil Munim berkata, pengalaman Tengku Zafrul Aziz dilihat mampu memberi nilai tambah kepada parti itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyertaan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz ke dalam PKR mampu menarik sokongan pelbagai pihak untuk bersama parti itu membina sebuah negara yang lebih progresif, adil dan inklusif, menurut Kamil Munim.

Ketua Pemuda PKR itu berkata, perkara ini sejajar dengan komitmen parti untuk terus menawarkan politik berasaskan idea, kepakaran dan integriti.

“Pengalaman beliau dilihat mampu memberi nilai tambah kepada PKR,” katanya di platform media sosial X.

Kamil yang juga setiausaha politik menteri kewangan itu percaya, keterbukaan PKR menerima tokoh-tokoh profesional membuktikan parti itu sentiasa berkembang sebagai sebuah wadah yang matang dan bersedia memimpin masa depan negara.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan ketua bahagian Kota Raja.

Beliau turut mengumumkan keluar parti dan menyatakan hasrat menyertai PKR, yang menurutnya telah disampaikan kepada presiden parti itu, Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agong Fuziah Salleh.

Presiden Umno Zahid Hamidi hari ini mengesahkan setiausaha kerja parti, Mohd Sumali Reduan telah menerima surat rasmi berhubung peletakan jawatan Tengku Zafrul.

Bagaimanapun, Fuziah Salleh berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu untuk menyertai PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.