
Persetujuan berkenaan dicapai dalam pertemuan dengan menteri komunikasi dan digital Indonesia itu di luar Mesyuarat Menteri Asia-Pacific Telecommunity (APT) 2025 yang berlangsung di Tokyo.
Dalam kenyataan di Facebook, Fahmi berkata antara perkara pertama dipersetujui adalah berkaitan usaha memperkukuh kerjasama strategik antara Bernama dan Antara, merangkumi pertukaran bahan berita, liputan rentas sempadan, serta perkongsian sumber dan latihan profesional.
“Ini penting dalam memastikan kedua-dua agensi kekal relevan, berwibawa, dan berupaya menyampaikan maklumat yang tepat serta seimbang kepada rakyat di negara masing-masing.
“Kami turut menekankan peranan penting Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) dalam mempererat hubungan media kedua-dua negara.
“Iswami bukan sahaja menjadi jambatan memperkukuh jaringan wartawan profesional, tetapi juga memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pemahaman dan persefahaman dalam kalangan rakyat melalui penceritaan yang lebih inklusif dan berpandangan jauh,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi turut menyifatkan perbincangan itu begitu positif dan mesra serta mencerminkan semangat kerjasama serantau yang kukuh antara Malaysia dan Indonesia.
Tambahnya, beliau juga percaya kedua-dua negara mampu memperluaskan kerjasama dalam bidang komunikasi.
“Berbekalkan semangat kejiranan dan nilai bersama yang utuh, kami percaya Malaysia dan Indonesia mampu terus memperluas kerjasama dalam bidang komunikasi demi kepentingan dan kebaikan rakyat kedua-dua negara,” katanya.