
Fahmi berkata hasrat itu disampaikan dalam beberapa perjumpaan dua hala sempena Mesyuarat Menteri Komuniti Telekomunikasi Asia-Pasifik (APT).
“Hasrat ini disampaikan kepada negara-negara anggota APT agar mereka dapat memberikan sokongan yang berterusan kepada Malaysia.
“Sebagai Ahli Majlis, Malaysia memainkan peranan dalam menentukan hala tuju dasar strategik ITU, mengawasi pelaksanaan keputusan yang dibuat semasa persidangan, serta mewakili kepentingan rantau Asia dan negara membangun dalam bidang telekomunikasi dan infrastruktur digital,” katanya di Facebook.
Katanya, perkara itu juga antara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun, Murakami Seiichiro dan Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China, Zhang Yunming.
Fahmi berkata beliau juga mengadakan perbincangan dengan Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU, Dr Cosmas Luckyson dan menyatakan komitmen Malaysia dalam memastikan rangkaian internet yang lebih selamat.
“Menerusi perbincangan dua hala itu saya tegaskan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan dalam memastikan rangkaian internet yang lebih selamat untuk pengguna di Malaysia, di samping memperluas liputan ke seluruh pelosok negara,” katanya.
Menurutnya, ITU turut menjemput Malaysia menghadiri beberapa sidang kemuncak yang dianjurkan termasuk di Riyadh, Arab Saudi pada awal September, dan di Baku, Azerbaijan pada November ini.