Kebakaran Putra Heights: SPNB bina semula, baiki 17 rumah mulai minggu depan

Kebakaran Putra Heights: SPNB bina semula, baiki 17 rumah mulai minggu depan

Projek guna peruntukan kerajaan sehingga RM300,000 untuk bina semula rumah, RM150,000 untuk baik pulih.

penduduk kebakaran saluran gas Putra Height di Kampung Kuala Sungai Baru
Kebakaran saluran gas di Putra Heights 1 April lepas mengakibatkan antaranya 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40% dan 81 separa musnah.
PETALING JAYA:
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina semula, dan membaiki 17 rumah yang terjejas dalam kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights, Selangor, bermula minggu depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Mohd Jamil Idris berkata, projek permulaan melibatkan 11 rumah rosak sepenuhnya dan enam rumah untuk dibaik pulih, dengan peruntukan kerajaan yang dipersetujui sebelum ini, iaitu rumah bina semula maksimum RM300,000 dan baik pulih maksimum RM150,000.

“Kita dah mula masuk ke kawasan itu dan kontraktor kita dah bagi surat lantikan kepada penduduk terlibat minggu ini, jadi dalam minggu depan, mereka (kontraktor) akan mula kerja di tapak (kediaman yang terlibat).

“Kalau tengok data yang kita ada setakat ini, 17 unit kediaman … dan data itu mungkin akan berubah,” katanya kepada pemberita pada Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB) dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SPNB di Taman Desa Kuala Muda, Kepala Batas, lapor Bernama.

Pada 1 April lepas, api menjulang setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dalam kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights.

Kebakaran itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, dan 21 rumah tidak terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.