Kaji semula kerjasama PH-BN jika PKR terima Tengku Zafrul, kata Umno Kedah

Kaji semula kerjasama PH-BN jika PKR terima Tengku Zafrul, kata Umno Kedah

Jika 'sempadan' tak dihormati, Umno dan BN harus nilai semula kompas politik bagi PRU akan datang, kata pemimpin Umno Kedah.

Pengarah Komunikasi Umno Kedah Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Umno tidak menghalang mana-mana ahli keluar parti, tetapi mestilah dilakukan dengan adab, etika dan sempadan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemimpin Umno Kedah menggesa pucuk pimpinan parti itu dan Barisan Nasional (BN) agar mempertimbangkan semula kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) bagi PRU akan datang, sekiranya PKR membuat keputusan menerima Tengku Zafrul Aziz sebagai ahli.

Pengarah Komunikasi Umno Kedah Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri membuat desakan itu susulan tindakan Tengku Zafrul, sebelum ini ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan ketua bahagian Kota Raja, mengumumkan peletakan jawatan dalam parti serta keluar parti, selain menyatakan hasrat untuk menyertai PKR, semalam.

“Kalau PKR terima Tengku Zafrul, adakah ini tanda rakan kerajaan perpaduan cuba ‘curi’ pemimpin Umno secara halus? Kalau perkara begini dibiarkan, hubungan dalam kerajaan perpaduan boleh retak. Hari ini seorang (pemimpin ‘dicuri’), esok siapa pula?

“Umno dan BN perlu nilai semula kerjasama ini. Jika teguran dan amaran Umno tak diendah, dan kalau rakan dalam kerajaan sendiri tak hormat sempadan, lebih baik kita nilai semula kompas politik kita dalam PRU akan datang.

“Umno tak halang orang keluar, tapi kami tuntut agar ada adab, etika dan sempadan dalam politik. Kalau setiakawan dalam kerajaan pun tak dijaga, kita kena lebih bertegas demi maruah parti,” katanya kepada FMT.

Syed Mohd Johan Rizal turut mendakwa, sikap PKR yang cuba ‘memancing’ pemimpin Umno tidak ubah seperti sikap Bersatu yang menurutnya, membawa kepada keretakan kerjasama dua parti itu sebelum ini.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga menteri pelaburan, perdagangan dan industri berkata, beliau membuat keputusan sedemikian setelah bermuhasabah dan mengambil kira pelbagai faktor terutama keserasian dan kesesuaian.

Katanya, beliau turut telah menyatakan niat menyertai PKR kepada Presiden Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Fuziah Salleh.

Pengumuman Tengku Zafrul mengundang respons segera daripada Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki semalam, yang menegaskan pihaknya memandang serius niat Tengku Zafrul ingin menyertai PKR.

Asyraf dilaporkan berkata, amat tidak wajar mana-mana parti dalam kerajaan perpaduan menerima ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya kerana ia boleh menyebabkan ketidakharmonian berlaku.

Fuziah kemudian berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan keahlian rasmi daripada Tengku Zafrul, namun ia akan ‘dipertimbangkan sewajarnya, dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang, termasuk pandangan rakan-rakan dalam kerajaan perpaduan serta akar umbi’.

Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin hari ini menyatakan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Fuziah itu, berkata PKR sepatutnya sudah membuat keputusan berhubung Tengku Zafrul.

“Sepatutnya PKR sudah ada keputusan dan menyatakan dengan jelas bahawa mereka tolak permohonan Tengku Zafrul demi menghormati sensitiviti Umno,” katanya kepada FMT.

Shaiful Hazizy berkata, PKR seharusnya sedar sekiranya mereka menerima Tengku Zafrul, ia akan menambah beban kepada Umno dalam menjelaskan perkara itu kepada akar umbi, sebagaimana kesukaran dihadapi menjelaskan kerjasama dengan DAP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.