
Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata sebagai seorang menteri dalam kerajaan atas kuota Umno, Zafrul wajar meletak jawatan daripada Kabinet sekiranya masih memiliki integriti.
Menurutnya, tindakan Zafrul tidak boleh diterima sama sekali selepas diberi layanan kelas pertama, termasuk dilantik menteri penuh dari kuota Umno.
“Beliau bukan sahaja gagal mempertahankan maruah parti, malah dengan selamba menikam belakang jentera yang selama ini menyokongnya.
“Ini bukan silap langkah, ini pengkhianatan berdarah dingin,” katanya dalam kenyataan, mengulas tindakan Zafrul keluar Umno dan berhasrat menyertai PKR.
Terdahulu, Zafrul berkata surat perletakan keahlian Umno serta jawatan ahli majlis kerja tertinggi dan ketua Kota Raja telah dihantar kepada pucuk pimpinan parti.
Berkenaan hasrat menyertai PKR, Zafrul memaklumkan niat itu telah dinyatakan kepada Presiden Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung Fuziah Salleh.
Mengulas lanjut, Shaiful berharap PKR tidak menerima permohonan keahlian Zafrul, yang menurutnya jika diterima ia menjadi satu ‘duluan’ yang merosakkan semangat setiakawan dalam kerajaan perpaduan.
Menurutnya, tindakan tidak bermaruah itu hanya akan membuka pintu kepada budaya politik tidak sihat dan menggugat kepercayaan yang sedang dibina antara parti gabungan dalam kerajaan.
“Umno Kedah menolak budaya lompat parti sesama rakan gabungan. Ini bukan politik matang, ini politik luar tabii merosakkan.
“Umno bukan tempat persinggahan, Umno bukan alat dijadikan batu loncatan dan bagi mereka yang mengkhianati, tiada ruang untuk dimuliakan semula dalam sejarah perjuangan parti ini,” katanya.
Zafrul, 51, bersama Umno sejak 1997 dan pernah berkhidmat sebagai bendahari Barisan Nasional Selangor.
Beliau pernah menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
Zafrul bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 namun tewas kepada Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH).
Walaupun tewas, beliau dilantik ke Kabinet kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
Spekulasi berkait kedudukan politik Zafrul sering dibangkitkan kebelakangan ini kerana tempohnya sebagai Ahli Dewan Negara akan tamat Disember.