
Ti Lian Ker berkata, BN kini sedang melalui masa sukar apabila makin ramai pengundi bukan Melayu tidak lagi menerima politik berasaskan kaum, sekali gus menjadikan gabungan itu semakin tidak relevan.
Namun, beliau berkata hakikatnya politik berasaskan kaum dan agama masih menjadi ciri dominan dalam landskap politik negara.
Trend itu dapat dilihat melalui peningkatan populariti PAS serta kemunculan parti seperti Bersatu, Amanah, dan Pejuang.
Ti berkata, MCA perlu menentukan haluan sendiri, memandangkan ahlinya semakin merasakan mereka diketepikan Umno, yang merupakan tunjang BN.
Beliau berkata, ahli MCA berpendapat Umno kini lebih memihak kepada DAP iaitu ‘musuh ketat’ partinya.
“Setakat ini, nampaknya MCA dipinggirkan dan melakukan apa sahaja yang perlu untuk terus bertahan,” katanya kepada FMT.
April lalu, Ti menyifatkan hubungan MCA dan Umno seperti masalah perkahwinan.
“Ia seakan isteri ditinggalkan suami yang melarikan diri, namun si isteri yang terasing masih berharap keadaan kembali normal walaupun tanda jelas menunjukkan sebaliknya,” katanya.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina yang mendakwa MCA Kuantan akan mengusulkan supaya undian dijalankan dalam mesyuarat bahagian pada Jun untuk menentukan sama ada perbincangan lanjut perlu diadakan mengenai pengunduruan parti daripada BN.
Ti yang juga Ketua MCA Kuantan menafikan laporan tersebut dan berkata tiada cadangan seperti itu dikemukakan.
Bekas timbalan menteri berkata, tidak bijak untuk MCA keluar daripada BN, yang diasaskan atas semangat kepelbagaian kaum, tolak ansur dan keterangkuman.
Katanya, BN menekankan prinsip toleransi, pembinaan konsensus dan kewujudan bersama, yang diamalkan sejak kemerdekaan Tanah Melayu seterusnya pembentukan Malaysia.
“Oleh itu, adalah tidak bertanggungjawab bagi MCA meninggalkan BN dan segala yang diperjuangkan selepas berdekad kestabilan dan pertumbuhan politik.
“MCA mesti kekal dalam BN untuk memastikan prinsip ini terus dipertahankan,” katanya.
Bulan lalu, Ti mengakui MCA kini berada di persimpangan, yang mana parti itu perlu membuat keputusan sama ada terus bersama BN dan berpuas hati dengan ‘sisa diberikan kepadanya’, atau keluar untuk merintis haluan sendiri dengan risiko hilang segala-segalanya.
Beliau berkata, jika MCA kekal dalam BN, parti itu mungkin hanya menguatkan dakwaan DAP yang ia selama ini bergantung kepada Umno, sekali gus mencemarkan imej dan kredibilitinya.
Walaupun percaya MCA tidak sepatutnya keluar daripada BN, Ti berkata parti itu perlu ‘reset’ dan mesti bersedia ‘berdiri atas kaki sendiri’ jika Umno memilih untuk bekerjasama dengan DAP dalam jangka panjang.