Kenyataan ‘Nazi Jerman’: AGC mula prosiding hina mahkamah terhadap Shafee

Kenyataan ‘Nazi Jerman’: AGC mula prosiding hina mahkamah terhadap Shafee

Kenyataan peguam kanan itu disifatkan 'serangan serius dan tidak wajar' terhadap badan kehakiman'.

Shafee Abdullah
Semalam, peguam kanan Shafee Abdullah dilaporkan keluar kenyataan banding prosiding mahkamah berhubung kes titah adendum bekas perdana menteri Najib Razak dengan ‘perbicaraan ala Nazi Jerman’.
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap peguam kanan Shafee Abdullah berhubung kenyataan dikatakan membandingkan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan ‘perbicaraan ala Nazi-Jerman’.

Jabatan itu berkata, kenyataan Shafee itu merupakan ‘serangan yang serius dan tidak wajar terhadap maruah, kewibawaan dan kebebasan badan kehakiman’.

Menurutnya, peguam berhak mencabar keputusan kehakiman melalui saluran undang-undang sewajarnya, namun kenyataan awam yang mencemarkan imej mahkamah atau menggugat keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan ‘tidak boleh diterima dalam sistem perundangan kita’.

“Prosiding penghinaan mahkamah akan diteruskan bagi menegakkan kedaulatan undang-undang, memelihara integriti proses kehakiman, dan melindungi mahkamah daripada tohmahan serta tekanan awam yang tidak wajar,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, peguam Najib Razak itu dilaporkan membandingkan prosiding mahkamah berhubung kes titah adendum bekas perdana menteri itu dengan ‘perbicaraan ala Nazi Jerman’, mengkritik arahan pentadbiran hakim, yang menurutnya dikeluarkan tanpa mendengar daripada kedua-dua pihak.

“Itu bukan keputusan kehakiman. Keputusan kehakiman bermakna anda dengar kedua-dua pihak. Sejak bila kita buat perbicaraan ala Nazi Jerman?” katanya, lapor Malaysiakini.

Bagaimanapun, Shafee hari ini tampil dengan kenyataan menerusi firma guamannya bagi menjelaskan komen itu.

Menurut kenyataan itu, komen itu dibuat Shafee ketika menjawab soalan wartawan dan mesti difahami dalam konteks yang betul.

“Komen itu bertujuan menekankan bahawa keputusan yang dibuat tanpa memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk didengar tidak boleh disifatkan dengan betul sebagai kehakiman,” katanya.

“Di sinilah anak guam kami (Shafee) berkata, jika tiada perbicaraan yang sewajarnya ‘…ia bukan keputusan kehakiman. Keputusan kehakiman bermakna anda mendengar kedua-dua pihak, sejak bila kita melakukan jenis pendengaran Nazi Jerman?”

Menurut kenyataan itu, komen Shafee itu bukan bertujuan merendah-rendahkan badan kehakiman atau mana-mana hakim tertentu, sebaliknya untuk mendidik orang ramai tentang ciri-ciri penting keputusan kehakiman yang betul di bawah kedaulatan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.