
Ketua Pengarah Jakim, Sirajuddin Suhaimee, berkata langkah itu dilaksanakan bagi memastikan tiada pelanggaran syarat dilakukan pemegang sijil terbabit.
“Dalam konteks pemantauan dan penguatkuasaan, kita (Jakim) bekerjasama erat dengan KPDN kerana akta perihal dagangan atau perintah perihal dagangan itu ada bersama mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Jakim.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik dua hotel di Banda Hilir selepas didapati menganjurkan parti arak, dua minggu lalu.
Sirajuddin berkata, Jakim memandang serius insiden di Melaka dan tidak sesekali berkompromi dengan kes membabitkan penyalahgunaan sijil halal di negara ini.
“Setiap (Jabatan Agama Islam) negeri juga (disaran) melaksanakan operasi sama untuk membuat pemantauan dan memastikan supaya perkara sebegini tidak berlaku dalam kalangan pemegang sijil halal.
“Kita juga menyantuni apa yang telah dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar supaya mereka yang mempunyai atau mendapat sijil halal tidak melakukan sesuatu di luar batasan dan bercanggah dengan kehendak syarat,” katanya.
Mengenai pengeluaran sijil halal, beliau berkata pihaknya komited memastikan segala proses pengeluaran sijil berkenaan dapat dipertingkatkan serta dipercepat bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat.
“Insya-Allah, kita yakin akan pertingkatkan bukan sahaja bilangan yang diluluskan, malah tempoh masa yang diambil itu akan dapat diringkaskan … setakat ini, yang paling (cepat) seminggu (sijil halal diluluskan),” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata tempoh memproses pensijilan halal dipendekkan kepada 15 hari bekerja berbanding 23 hari bertujuan merancakkan industri halal negara.