‘Ibarat pemegang saham’, bekas menteri Umno ulas pengunduran Rafizi, Nik Nazmi

‘Ibarat pemegang saham’, bekas menteri Umno ulas pengunduran Rafizi, Nik Nazmi

Shahrir Samad berkata jika tiada mandat parti seseorang itu ibarat hilang kepentingan dan perlu melepaskannya.

Tindakan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad lepas jawatan dalam Kabinet selepas kalah pemilihan PKR sebagai berprinsip, menurut Shahrir Samad.
PETALING JAYA:
Bekas menteri Shahrir Samad menyifatkan memegang jawatan parti ibarat pemegang saham dengan segala kepentingan termasuk jawatan menteri perlu dilepaskan jika tidak lagi mendapat kepercayaan.

Shahrir merujuk tindakannya meletak jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna selepas kalah dalam pertandingan merebut jawatan naib presiden pada pemilihan Umno 2009.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Johor Bahru menyifatkan tindakan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berundur daripada Kabinet selepas tewas pemilihan PKR 23 Mei lalu sebagai berprinsip.

Mengimbau pengalamannya, bekas pengerusi Felda berkata beliau bertanding jawatan naib presiden untuk mendapat mandat parti apabila dilantik bawah pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi selepas PRU2008 .

Shahrir Samad.

“Kalau parti tak bagi mandat (kalah pada pemilihan dan tidak dapat kepercayaan ahli), ia seperti pemegang saham. Ada banyak kepentingan kalau kita dalam parti,” katanya kepada FMT.

Pemilihan berlangsung 16 tahun lalu itu menyaksikan jawatan naib presiden dimenangi Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein dan Mohd Shafie Apdal.

Shahrir berkata, tindakan Rafizi melepaskan jawatan menteri ekonomi manakala Nik Nazmi berundur sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam selepas kalah sebagai perkembangan positif dalam PKR.

“Baguslah, kena ada prinsip dan mereka mencipta amalan (dalam PKR) di mana kedudukan dalam parti melayakkan kita jawatan dalam kerajaan. Tetapi bila kalah dalam parti, kita letak jawatan dalam kerajaan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau belum memikirkan rombakan Kabinet susulan pengunduran dua menteri terbabit.

Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Anwar sudah menerima surat pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi, serta meluluskan permohonan cuti mereka masing-masing hingga 16 Jun dan 3 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.