Dirasuah RM10,000, bekas pengarah Maritim Tanjung Sedili dipenjara 20 bulan

Dirasuah RM10,000, bekas pengarah Maritim Tanjung Sedili dipenjara 20 bulan

Hukuman penjara tertuduh berkuat kuasa hari ini selepas mahkamah menolak permohonan peguam menangguhkan pelaksanaannya bagi memfailkan rayuan.

Mohd Zulfadli Nayan
Mohd Zulfadli Nayan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan ke atas bekas pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Johor atas kesalahan menerima suapan RM10,000 pada 2020.

Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Mohd Zulfadli Nayan, 44, melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Setelah mendengar dan menimbangkan semua keterangan, mahkamah berpendapat tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Mahkamah memutuskan tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan,” katanya dalam penghakiman menurut Berita Harian.

Terdahulu, peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly memohon hukuman denda berbanding penjara atas alasan anak guamnya mempunyai empat anak berusia tiga hingga 11 tahun.

Katanya, sejak ditahan kerja 23 Mei 2021, anak guamnya bekerja sebagai pemandu e-panggilan dan membuat kerja pendawaian elektrik dengan gaji RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, bergantung permintaan pelanggan serta kesihatannya.

Beliau berkata, tertuduh turut menghidap gout, migrain serius dan gastrik yang menyebabkannya terpaksa mengambil ubat secara berkala.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong memohon hukuman setimpal demi kepentingan awam dan bukti mahkamah mengecam amalan rasuah.

“Sebagai pegawai kanan persekutuan, tertuduh perlu memastikan perundangan dilaksanakan dan keselamatan perairan terpelihara, tetapi dia bersetuju menerima RM10,000 daripada ejen kapal yang jelas bertentangan tanggungjawabnya serta mencemarkan imej Maritim Malaysia.”

Mahkamah turut menolak permohonan peguam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara berkuat kuasa hari ini bagi memfailkan rayuan.

Pada 23 Mei 2021, tertuduh yang digantung tugas ketua penolong pengarah kanan cawangan hubungan dan koordinasi antarabangsa Ibu Pejabat Maritim Malaysia mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya.

Zulfadli didakwa menerima suapan wang tunai RM10,000 daripada pemilik syarikat perkapalan, Wan Mohd Fauzi Wan Kamaruddin di sebuah restoran di Jalan Yahya Awal pada 10 malam 2 Okt 2020.

Dia didakwa menggunakan jawatannya ketika itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap siasatan kapal MT Singa Gangsa milik Alamgala Resources Sdn Bhd yang ditahan KM Mulia, Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili pada 17 Sept 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 18 Dis 2024, Ahmad Kamal Arifin memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.