Subsidi LPG tak mansuh, kata menteri

Subsidi LPG tak mansuh, kata menteri

Armizan Mohd Ali berkata peraturan sedia ada berkait subsidi LPG disalah faham sebagai pemansuhan subsidi.

gas lpg gas cylinder
Menteri KPDN Armizan Mohd Ali, berkata timbul kekeliruan susulan operasi besar-besaran dijalankan di seluruh negara membanteras salah guna dan ketirisan LPG bersubsidi, terutamanya oleh sektor komersial dan industri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak memansuhkan subsidi gas petroleum cecair (LPG), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.

Sambil menafikan dakwaan subsidi itu ditarik balik, Armizan berkata kerajaan tidak membuat keputusan sedemikian dan membidas pihak cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan beserta andaian tidak tepat.

“Subsidi tidak dimansuhkan. Peraturan sedia ada telahpun berkuat kuasa sejak 2021. Apa yang kami lakukan sekarang ialah menguatkuasakan peraturan tersebut dengan lebih tegas,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, timbul kekeliruan mengenai perkara tersebut susulan operasi besar-besaran dijalankan di seluruh negara membanteras penyalahgunaan dan ketirisan LPG bersubsidi, terutamanya oleh sektor komersial dan industri.

Beliau berkata, operasi tersebut bertujuan menangani dua isu utama: penggunaan silinder LPG bersubsidi oleh sektor tidak layak dan aktiviti haram ‘decanting’ iaitu pemindahan gas dari tong LPG bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi untuk meraih keuntungan.

“Kumpulan penyangak subsidi ini mendapat keuntungan atas angin yang amat besar kerana strategi penjualan pada harga yang sedikit rendah daripada harga komersial ini telah menjadi faktor penarik sama ada untuk jualan domestik dan penyeludupan ke luar negara.”

Menurut peraturan sedia ada, mana-mana pihak yang tidak menggunakan silinder LPG melebihi tiga tong 14kg iaitu melebihi 42kg pada satu-satu masa, tidak perlu khuatir kerana mereka tidak tertakluk kepada peraturan untuk memohon permit barangan kawalan berjadual. Peraturan itu telah berkuat kuasa sejak 15 Okt 2021.

Armizan berkata, pegawai penguat kuasa kini lebih menumpukan kepada advokasi berbanding tindakan hukuman.

“Ada kekeliruan berhubung dokumen diserahkan oleh penguat kuasa kita kepada premis perniagaan jualan makanan. Ia adalah dokumen Kenyataan Pemeriksaan Premis dan bukan notis kompaun dan tidak ada sebarang sitaan dibuat.

“Ia adalah dokumen standard yang akan diserahkan penguat kuasa KPDN semasa membuat sebarang pemeriksaan rutin di mana-mana premis yang berkaitan,” katanya.

Armizan turut memberi peringatan agar tidak membuat andaian semua restoran layak menerima LPG bersubsidi, kerana peraturan semasa bertujuan menyalurkan subsidi secara bersasar.

Beliau memberi contoh ketidakadilan subsidi diberikan kepada ‘restoran yang menjual mee goreng pada harga RM20, sedangkan ada restoran yang menjual mee goreng pada harga RM8’.

Katanya, subsidi LPG di negara ini melonjak daripada RM2.2 bilion pada 2013 kepada hampir RM3.4 bilion pada 2024, dan bertambah jika penyampaian subsidi tidak dilaksana.

Beliau menambah, subsidi LPG adalah untuk isi rumah, bukan untuk menyokong operasi komersial.

“kita juga perlu faham subsidi ini juga datangnya daripada duit rakyat iaitu dana awam termasuk duit pembayar cukai,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mengkritik operasi penguatkuasaan, sambil mendakwa ia menindas peniaga kecil dan orang awam.

Beliau mendakwa semua peniaga termasuk peniaga kecil terpaksa menukar kepada tong gas komersial yang berharga hampir RM70 satu tong – kira-kira tiga kali ganda berbanding kadar subsidi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.