
Bagaimanapun, beliau tidak menerima sebarang jawapan atau pengesahan bahawa mereka menerima surat berkenaan.
“Kita hantar surat kepada bekas peguam negara (Terrirudin Salleh), menteri dalam negeri (Saifuddin Nasution Ismail), menteri undang-undang (Azalina Othman Said), ketua pengarah penjara, dan kerajaan serta salinan kepada perdana menteri dan timbalannya,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau berkata sekiranya titah adendum itu tidak wujud, tidak menjadi masalah untuk membalas surat tersebut.
Najib memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi menguatkuasakan titah diraja supaya baki hukuman penjaranya dijalani secara tahanan di rumah.
Bagaimanapun, prosiding itu digantung sementara menunggu keputusan rayuan peguam negara di Mahkamah Persekutuan.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan pada 2 Feb tahun lalu bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 21 Mei, Najib memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding hina mahkamah terhadap Terrirudin.
Najib mendakwa bahawa Terrirudin, semasa menjawat jawatan peguam negara, gagal mendedahkan titah adendum yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara berkata tindakan Najib merupakan pelanggaran langsung terhadap perintah mahkamah berkaitan semakan kehakimannya dan dakwaan Terrirudin cuba ‘mengelirukan’ mahkamah mengenai titah adendum itu adalah tidak berasas.
Hari ini, Shafee berkata bahawa apabila satu semakan kehakiman difailkan, orang yang kena saman wajib menerangkan sejujur sebarang maklumat dan dokumen yang ada pada tangan mereka.
“Mereka tidak boleh bermain sorok-sorok.”