
Hindustan Times melaporkan Navin Chichkar, didakwa mengetuai sindiket itu di Malaysia kini berada dalam tahanan Biro Kawalan Narkotik (NCB) India di Mumbai.
Mahkamah Mumbai memerintahkannya direman bawah NCB.
Penahanan Navin dilakukan susulan operasi bersama melibatkan Interpol, Biro Penyiasatan Pusat India, dan pihak berkuasa Malaysia.
NCB berkata, pihaknya menjejak suspek berkenaan sejak beberapa tahun lalu, manakala Interpol baru-baru ini mengeluarkan Notis Merah berikutan permintaan agensi tersebut.
Navin pertama kali dikaitkan dengan kes pengedaran dadah pada tahun 2021 tetapi didakwa telah melarikan diri. Beliau kemudian muncul di Thailand sebelum berpindah ke Malaysia, di mana beliau baru-baru ini dikesan dan ditahan.
Navin pertama kali dikaitkan kes pengedaran dadah pada 2021, namun didakwa telah melarikan diri. Dia kemudian muncul di Thailand sebelum berpindah ke Malaysia, di mana baru-baru ini dikesan dan ditahan.
Pada Januari, NCB merampas 200g kokain disorokkan dalam projektor yang dihantar ke Australia menggunakan kurier.
Rampasan itu membawa penyiasat kepada simpanan dadah lebih besar, didakwa berkait rangkaian sama. Keseluruhan, agensi itu setakat ini telah merampas 11.7kg kokain, 4.9kg ganja, dan 5.5kg gummy berasaskan ganja daripada ahli sindiket disyaki.
Siasatan NCB dilaporkan membongkar laluan pengedaran dadah yang rumit, melibatkan penghantaran kokain dari Amerika Syarikat ke India, serta pengedaran di peringkat domestik dan antarabangsa.
Dikatakan, sindiket itu menggunakan sistem hawala menerusi ejen kastam dan pengendali, iaitu sistem pemindahan nilai tidak formal berdasarkan kepercayaan dan reputasi rangkaian besar pengantara kewangan.
“Penyiasatan ke Navin berkemungkinan akan mendedahkan lagi perincian operasinya, termasuk sumber dadah di Amerika Syarikat,” lapor Hindustan Times memetik sumber NCB.
Setakat ini, lapan sudah ditahan disyaki terkait dengan kes berkenaan.
FMT telah menghubungi Ketua Polis Negara Razarudin Husain untuk ulasan.