Fuziah, Leong jalan tugas sehingga barisan baharu dilantik

Fuziah, Leong jalan tugas sehingga barisan baharu dilantik

Fuziah Salleh dan William Leong galas setiausaha agung dan bendahari agung sehingga MPP lantik barisan kepimpinan baharu.

fuziah salleh n william leong
Biro politik PKR umum Fuziah Salleh dan William Leong terus menggalas tugas setiausaha agung dan bendahari agung.
PETALING JAYA:
Fuziah Salleh dan William Leong akan terus menjalankan tugas masing-masing sebagai setiausaha agung dan bendahari agung PKR sehingga barisan kepimpinan baharu dilantik kelak.

Biro politik PKR mengumumkan perkembangan ini selepas mesyuarat sesi 2025/2028 diadakan buat julung kali petang tadi, dipengerusikan Presiden Anwar Ibrahim.

Ia turut dihadiri timbalan presiden baharu, Nurul Izzah, dan Naib Presiden Amirudin Shari, R Ramanan, Aminuddin Harun, dan Chang Lih Kang.

“Fuziah dan Leong akan terus menjalankan tugas masing-masing… sehingga barisan kepimpinan baharu dilantik dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang akan diadakan kelak,” menurut kenyataan.

Dalam pada itu, perbincangan turut menjurus kepada PRN Sabah dengan tumpuan pada memastikan kesiapsiagaan.

Katanya, timbalan dan naib presiden diberikan tugasan khusus bagi memastikan kemenangan PKR dan parti komponen kerajaan perpaduan.

Bekas pengerusi majlis pimpinan Sabah, Mustapha Sakmud, akan terus menjalankan tugas pengerusi negeri sementara menunggu pelantikan barisan kepimpinan baharu, demi kelangsungan persediaan pilihan raya.

Selain itu, mesyuarat turut menyentuh dasar-dasar yang bakal dibawa oleh pihak eksekutif serta impak terhadap kos sara hidup rakyat.

Katanya, langkah-langkah susulan turut diperhalusi bagi memastikan manfaat kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.