
Chin Yee Mun dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata, kekosongan ditinggalkan Rafizi Ramli sebagai menteri ekonomi serta menteri sumber asli dan kelestarian alam disandang Nik Nazmi Nik Ahmad perlu diisi segera bagi mengelak ‘konflik dalaman semakin memuncak’.
“Jika lambat (diselesaikan) akan wujudkan persepsi kumpulan (penyokong), Rafizi bertindak untuk undur dari jawatan sebagai tanda protes.
“Kalau tidak diurus segera, persepsi sedemikian akan mengundang juga persepsi buruk lain seperti konflik dalaman semakin memuncak, nepotisme dan sebagainya,” katanya kepada FMT.
Pagi tadi, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata beliau belum memikirkan rombakan Kabinet susulan pengunduran dua menteri semalam.
“Belum. Belum (fikir rombakan). Mereka masih bercuti. Kita tak boleh ganti orang yang sedang bercuti,” katanya selepas perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri.
Pejabat Perdana Menteri semalam mengesahkan Anwar sudah menerima surat pengunduran Rafizi dan Nik Nazmi, serta meluluskan permohonan cuti mereka masing-masing hingga 16 Jun dan 3 Julai.
Rafizi dan Nik Nazmi meletak jawatan susulan kegagalan mempertahankan kedudukan masing-masing pada pemilihan pusat PKR baru-baru ini.
Rafizi gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden manakala Nik Nazmi kalah dalam pertandingan naib presiden.
Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata peletakan jawatan menteri terbabit sudah dijangka.
Beliau tidak melihat perkara itu akan menggugat kerajaan kerana ia sebenarnya masalah dalaman PKR.
“Peletakan jawatan dua menteri itu boleh diganti oleh tokoh lain,” katanya.
Mazlan juga menjangkakan penyokong Rafizi dan Nik Nazmi tidak mungkin beralih sokongan terhadap Anwar, malah akan bersatu kembali sebagai satu pasukan dalam PKR.
“Mungkin merajuk seminggu atau dua minggu. Penyokongnya memainkan peranan penting dalam PKR tetapi PKR telah banyak kali berlaku perpecahan seperti Azmin (Ali) tinggalkan parti tetapi tidak memberi kesan.
“Fokus rakyat tak tertumpu kepada isu dalaman PKR masa ini tetapi lebih fokus kepada kemajuan (dibawa) kerajaan,” katanya.