Cadangan turun umur belia seawal 16 tahun perlu rancangan rapi

Cadangan turun umur belia seawal 16 tahun perlu rancangan rapi

Angkatan Belia Islam Malaysia berkata remaja pada peringkat itu masih dalam proses perkembangan emosi dan intelektual.

Ahad lalu Johor dilaporkan bercadang memperkenalkan had minimum umur belia seawal 16 tahun bagi memberi pendedahan awal kepada remaja berkaitan alam selepas persekolahan.
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpendapat peringkat usia 16 tahun masih melalui proses perkembangan emosi dan intelektual untuk didefinisikan sebagai belia.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ahmad Fahmi Samsudin, berkata pelaksanaan had umur belia perlu dirancang rapi bagi memastikan ia memberi manfaat maksimum kepada semua pihak.

Katanya, pendedahan awal kepada aktiviti belia perlu disesuaikan dengan tahap kematangan golongan remaja tersebut.

“Perlu ada perbezaan antara umur belia dan umur kepimpinan belia. Ini kerana remaja pada usia 16 tahun masih dalam proses perkembangan emosi dan intelektual.

“Sungguhpun remaja kini sudah matang dari segi penggunaan teknologi dan akses kepada maklumat, yang dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan sosial. Namun, penyertaan dalam pertubuhan belia harus dirancang agar tidak mengganggu komitmen sedia ada akademik remaja di alam persekolahan,“ katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu meneliti cadangan untuk menubuhkan kelab belia di peringkat sekolah sebagai pengenalan dan pendedahan awal.

Ahad lalu, Johor dilaporkan bercadang memperkenalkan had minimum umur belia seawal 16 tahun bagi memberi pendedahan awal kepada remaja berkaitan alam selepas persekolahan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah, berkata dengan memperkenalkan umur belia pada 16 tahun, remaja berpeluang menyertai persatuan sekali gus memastikan persatuan belia mempunyai pelapis yang ampuh.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata tiada masalah untuk Johor ‘mengaktifkan’ usia belia seawal 16 tahun bagi penyertaan persatuan belia.

Beliau berkata, langkah itu dapat memudahkan pertubuhan belia mendapatkan bakat baharu yang selama ini berdepan kesukaran kerana kebanyakan mereka masih di bangku sekolah.

“Terkait 16 tahun itu tiada masalah. Isu paling besar ialah had umur yang diturunkan kepada umur 30 tahun, iaitu perbezaan sebanyak 10 tahun yang dilihat begitu besar dan berikan kesan besar kepada pembangunan belia itu sendiri,” katanya.

Had umur 30 tahun bagi belia di Malaysia akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2026.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata penurunan had umur itu sejajar Dasar Belia Malaysia dan takrifan di negara lain yang meletakkan had umur belia di bawah 30 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.