Transaksi rentas sempadan: Ketelusan institusi bank tingkat kepercayaan korporat

Transaksi rentas sempadan: Ketelusan institusi bank tingkat kepercayaan korporat

Peguam berkata bank dan institusi kewangan perlu bertanggungjawab memastikan dana dapat dikesan terutama melibatkan kes kiriman wang tidak berjaya atau dibatalkan.

pejabat office
Bagi atasi jenayah kewangan rentas sempadan, peguam cadangkan penekanan diberi kepada mekanisme penemuan pratindakan menerusi prinsip ‘Pharmacal Norwich’ untuk mendedahkan dasar pematuhan dalaman bank.
PETALING JAYA:
Seorang pengamal undang-undang menggesa institusi perbankan memainkan peranan strategik memerangi jenayah kewangan termasuk berkait rentas sempadan yang tahun lalu merekodkan sekatan transaksi RM399 juta.
J Shamesh.

Peguam J Shamesh berkata, ketelusan dan kebolehkesanan aliran dana menjadi kunci utama dalam memastikan sistem kewangan selamat dan berintegriti.

Beliau menekankan, bank dan institusi kewangan perlu bertanggungjawab memastikan dana dapat dikesan, terutama melibatkan kes kiriman wang tidak berjaya atau dibatalkan.

“Ketelusan dalam proses ini mampu meningkatkan kepercayaan pelanggan korporat terhadap sistem kewangan yang terdedah kepada isu keselamatan,” kata peguam jenayah komersial dalam kenyataan.

Pada sidang Parlimen 17 Feb lalu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata institusi perbankan menyekat transaksi berjumlah RM399 juta sepanjang tahun lalu membabitkan aktiviti jenayah kewangan.

Bagi mengatasi jenayah kewangan rentas sempadan, Shamesh mencadangkan penekanan diberi kepada mekanisme penemuan pratindakan menerusi prinsip ‘Pharmacal Norwich’ untuk mendedahkan dasar pematuhan dalaman bank.

“Ini berguna apabila berdepan kiriman wang mencurigakan kerana maklumat telus mampu mencegah salah laku dan membina keyakinan dalam kalangan pelanggan,” katanya.

Namun, Shamesh memberi amaran pendedahan yang tidak konsisten atau penolakan maklumat oleh bank boleh memberi kesan negatif dan mencetuskan keraguan dalam kalangan syarikat atau pelanggan korporatnya.

“Mereka mungkin mula berasa bahawa terdapat kawalan dalaman yang lemah atau wujud risiko pendedahan terpilih,” katanya.

Kukuh persepsi

Beliau berkata, jika bank mengamalkan ketelusan secara konsisten, ia bukan sahaja dapat meningkatkan kepercayaan pelanggan, malah memperkukuh persepsi bahawa institusi kewangan adalah rakan kongsi aktif dalam membanteras jenayah kewangan – bukan entiti yang kebal daripada pengawasan.

“Ini penting untuk memberi perkhidmatan lebih baik dan mewujudkan ekosistem kewangan lebih selamat,” katanya merujuk dua kes komersial pernah berlaku dalam negara, yang menunjukkan penemuan pratindakan boleh digunakan di mahkamah untuk memaksa bank mendedahkan maklumat sensitif jika terdapat sebab sah dari sudut undang-undang.

“Antaranya ialah kes First Malaysia Finance Bhd dengan seorang individu di mana prinsip Norwich Pharmacal diperkenalkan. Mahkamah membenarkan pendedahan oleh pihak ketiga seperti bank, apabila mereka terlibat secara tidak langsung dalam salah laku kewangan.

“Prinsip ini membolehkan pihak yang terkesan memohon kepada mahkamah untuk memaksa bank mendedahkan data penting seperti butiran transaksi, laluan kiriman wang dan rekod pematuhan ‘kenali pelanggan anda’ (KYC), terutama dalam kes penipuan rentas sempadan,” katanya.

Kes kedua yang dirujuk, katanya, ialah Protasco Bhd lawan seorang individu korporat, di mana Mahkamah Persekutuan menjelaskan bahawa walaupun bank terikat dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang mewajibkan kerahsiaan, mahkamah tetap boleh memerintahkan pendedahan jika wujud kepentingan sah.

Menurutnya, dalam dua kes itu mahkamah mengesahkan bank boleh diarah untuk mengemukakan dokumen berkaitan pelanggan dan prosedur dalaman mereka, terutama jika melibatkan penyiasatan kes rasuah atau penipuan.

“Ini memperkukuh kedudukan pengguna dalam menuntut keadilan. Kesimpulannya, ketelusan dalam urusan kewangan rentas sempadan bukan sekadar pilihan – ia satu keperluan.

“Dengan amalan pendedahan yang konsisten dan disokong oleh sistem perundangan yang mantap, bank boleh membina kepercayaan kukuh sambil memainkan peranan penting dalam membanteras jenayah kewangan global,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.