
Ahli Parlimen Setiawangsa dua penggal itu turut gagal mempertahankan kedudukannya sebagai ketua PKR Setiawangsa dalam pemilihan cabang bulan lepas.
Dalam kenyataan hari ini, Nik Nazmi berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatannya, yang akan berkuat kuasa pada 4 Julai, kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan akan bercuti mulai esok.
“Sejak dilantik ke dalam Jemaah Menteri, pertama sebagai menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim (Disember 2022-Disember 2023), dan seterusnya (jawatan semasa), saya telah berusaha sebaik mungkin bersama timbalan menteri dan para penjawat awam yang berdedikasi untuk melaksanakan reformasi yang amat diperlukan.
“Saya sedar kedudukan saya ketika itu sebagai naib presiden PKR merupakan antara pertimbangan utama dalam pelantikan saya ke Kabinet,” katanya dalam kenyataan.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri.”
Nik Nazmi antara ‘ahli’ pasukan Rafizi Ramli, yang turut meletak jawatan menterinya selepas kalah kepada Nurul Izzah Anwar dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR.
Terdahulu, Rafizi memaklumkan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa pada 17 Jun, selepas beliau menghabiskan baki cuti tahunan bermula hari ini.
Pada pemilihan pimpinan pusat PKR Jumaat lepas, Nik Nazmi satu-satunya penyandang yang gagal mengekalkan jawatan naib presiden, sementara Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dipilih semula.
Satu lagi jawatan naib presiden kini disandang Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan.