
Menteri sumber asli dan pembangunan bandar II berkata, kerajaan negeri mempertimbangkan pelaksanaan projek perintis di kawasan lombong berkeluasan kira-kira 5.281 hektar itu bawah Dasar Pembangunan Industri Mineral dan Pengkuarian Sarawak.
“Sebagai usaha memperkasa industri perlombongan dan pengkuarian, kerajaan Sarawak sedang merangka dasar lebih komprehensif dan memfokuskan kaedah perlombongan berteknologi tinggi serta mampan bagi mengurangkan impak ke atas alam sekitar.
“Projek perintis ini penting bagi menentukan kebolehlaksanaan projek serta kawalan dan mengurangkan impak projek sebelum perlombongan secara komersial dipertimbangkan,” katanya dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.
Beliau berkata, sistem digital dikenali Sarawak Minerals Information System juga dicadang dibangunkan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sumber mineral dan batuan di negeri itu.
Mengenai pembangunan modal insan industri itu, Awang Tengah berkata, kira-kira 1,400 peluang pekerjaan baharu pelbagai tahap dan bidang dikenal pasti bagi industri perlombongan huluan dan pengkuarian di Sarawak.
“Kerajaan Sarawak melalui Centre for Technology Excellence Sarawak akan terus menyediakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kepada pelajar lepasan sekolah atau universiti bagi mengisi keperluan tenaga kerja.
“Kerajaan Sarawak juga sedang berusaha menjalin kerjasama dengan University of British Columbia (UBC), Kanada bagi tujuan penyelidikan, pembangunan serta teknologi perlombongan, selain melahirkan tenaga kerja profesional dalam industri ini.”