
Katanya, surat peletakan jawatan sudah diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, tarikh peletakan jawatan itu akan berkuat kuasa pada 17 Jun dan beliau menghabiskan baki cuti tahunan bermula hari ini hingga 16 Jun.
“Saya menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.
“Kekalahan saya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat daripada parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Rafizi berkata, keputusan itu dibuat selaras amalan demokrasi negara maju di mana pemimpin yang kalah pemilihan parti wajar memberi laluan kepada barisan kepimpinan baharu untuk memikul tanggungjawab dalam kerajaan.
Sebelum pemilihan PKR, Rafizi menyatakan akan melepaskan jawatan menteri dan kembali menjadi Ahli Parlimen biasa jika gagal mempertahankan kedudukan nombor dua parti disandangnya.
Ahli Parlimen Pandan dua penggal berkata, tidak wajar bagi seseorang yang bukan dalam kepimpinan tertinggi parti memegang jawatan Jemaah Menteri.
Spekulasi peletakan jawatannya daripada Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim mula tersebar selepas pemilihan peringkat cabang PKR, di mana beberapa tokoh dikatakan rapat dengan Rafizi kalah dalam pertandingan.
Pada pemilihan minggu lalu, Rafizi yang memperoleh 3,866 undi kalah kepada Nurul Izzah Anwar yang mendapat 9,803 undi.
Sementara itu, Rafizi merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang memberi sokongan sepanjang beliau menerajui kementerian itu.
“Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan.
“Saya yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang telah dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam,” katanya.
Rafizi berkata, amanah terakhirnya sebagai menteri ekonomi disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang seterusnya.
Katanya, RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur melibatkan Kementerian Pendidikan.
“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri,” katanya.