Penganalisis cadang jawatankuasa khas pantau Deklarasi KL

Penganalisis cadang jawatankuasa khas pantau Deklarasi KL

Zokhri Idris cadang tubuh dua jawatankuasa bagi memastikan 'Asean 2045: Our Shared Future' di landasan betul untuk kemakmuran Asia Tenggara.

Asean declaration
Deklarasi KL mengenai Visi Komuniti Asean 2045 ditandatangani oleh pemimpin blok serantau itu pada Sidang Kemuncak Asean ke-46, kelmarin.
PETALING JAYA:
Asean digesa menubuhkan jawatankuasa bagi memantau Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ‘Asean 2045: Our Shared Future’ supaya perjalanannya di landasan betul untuk kemakmuran Asia Tenggara, kata penganalisis.

Penganalisis Hubungan Antarabangsa Zokhri Idris mencadangkan dua jawatankuasa ditubuhkan untuk mengukuhkan pelan mengandungi 500 strategik bagi dua dekad akan datang itu.

“Sebuah jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan Asean 2045 manakala satu lagi yang menumpukan usaha pengukuhan pembangunan kapasiti (capacity building).

“Dalam hal ini (pembangunan kapasiti) pemacu serantau perlu diperkukuh bagi merangsang pertumbuhan di rantau ini, antara aspek penting berkait mobilisasi tenaga kerja dan bakat.

“Jika warganegara Asean diberi peluang menyumbang di mana-mana negara anggota, ia mampu meningkatkan hasil dan produktiviti serantau,” katanya kepada FMT mengulas Deklaras KL dimeterai pada Sidang Kemuncak Asean ke-46, kelmarin.

Zokhri dari Global Asia Consulting turut mencadangkan kajian dari semasa ke semasa untuk mengukur keberkesanan objektif Asean 2045.

Beliau juga yakin peranan bakal dimainkan Malaysia selaku pengerusi untuk menyelaraskan kerjasama antara negara anggota supaya suara Asean dapat didengar di pentas dunia.

“Perubahan ini mampu dibuat kerana (persidangan) kali ini Asean disertai Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan kuasa ekonomi besar dunia seperti China, maksudnya perhatian telah diberi,” katanya.

Antara inti pati utama dokumen itu termasuk memperkukuh kedudukan Asean dalam ekonomi global sebagai pasaran tunggal yang mampan, pintar dan bersambung.

Selain itu, mewujudkan komuniti inklusif menumpukan bidang pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial serta menjadikan Asean sebagai entiti aktif di peringkat antarabangsa yang menjunjung prinsip keamanan, multilateralisme serta tadbir urus baik.

Pakar perhubungan awam antarabangsa Syahruddin Awang Ahmad pula berpendapat Deklarasi KL 2025 menjadi instrumen penting memperkukuh semula peranan utama Asean di peringkat global.

Ahli akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata dokumen terbabit juga langkah strategik memusatkan semula Asean dalam struktur geopolitik Asia Tenggara di tengah-tengah persaingan kuasa besar dunia.

“Menerusi pengukuhan konsensus serantau dalam isu kritikal seperti keselamatan maritim di Laut China Selatan dan ancaman perubahan iklim serta jenayah siber, Asean dapat menunjukkan keupayaannya kepada kuasa besar.

“Ini sekali gus memberikan Asean kekuatan diplomatik yang signifikan dalam membentuk naratif dan mempengaruhi dasar global seperti pernah dalam penubuhan Forum Serantau Asean (ARF) pada 1994,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.