Nurul Izzah yakin Rafizi ‘terus bentuk masa depan negara’

Nurul Izzah yakin Rafizi ‘terus bentuk masa depan negara’

Timbalan presiden PKR berkata pemikiran Rafizi Ramli sentiasa menjadi kekuatan sama ada dalam kerajaan atau sebaliknya.

nurul izzah anwar n rafizi ramli
Nurul Izzah Anwar berkata pelbagai gagasan dan dasar yang mengubah wacana negara khususnya tadbir urus, ketelusan dan keadilan ekonomi telah diperkenalkan Rafizi Ramli. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Walaupun Rafizi Ramli meletak jawatan sebagai menteri ekonomi, Nurul Izzah Anwar yakin Ahli Parlimen Pandan itu akan terus ‘membentuk masa depan negara dengan cara bermakna’ tidak kira ke mana haluan pada masa akan datang.

Timbalan presiden PKR berkata, pemikiran Rafizi sentiasa menjadi kekuatan sama ada berada dalam kerajaan atau sebaliknya.

“Negara memerlukan idea dan langkah yang berani, dan saya percaya beliau masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberi. Namun, ke mana pun arah perjalanan beliau selepas ini, saya yakin beliau akan terus membentuk masa depan negara ini dengan cara yang bermakna,” katanya di Facebook.

Pada masa sama, rasa hormat turut diluahkan Nurul Izzah kepada Rafizi yang disifatkan tidak pernah gentar apabila berdepan dengan kuasa serta keberaniannya untuk menyatakan kebenaran.

“Banyak idea beliau yang tidak akan dilupakan, malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana, bukan kerana ia datang daripada beliau atau saya, tetapi kerana ia adalah yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Katanya, pelbagai gagasan dan dasar yang mengubah wacana negara khususnya tadbir urus, ketelusan dan keadilan ekonomi telah diperkenalkan Rafizi.

Terdahulu, Rafizi dalam kenyataan memaklumkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan ia akan berkuat kuasa pada 17 Jun.

Katanya, keputusan itu dibuat selaras amalan demokrasi negara maju di mana pemimpin yang kalah pemilihan parti wajar memberi laluan kepada barisan kepimpinan baharu untuk memikul tanggungjawab dalam kerajaan.

Sebelum pemilihan PKR, Rafizi menyatakan akan melepaskan jawatan menteri dan kembali menjadi Ahli Parlimen biasa jika gagal mempertahankan kedudukan nombor dua parti disandangnya.

Pada pemilihan minggu lalu, Rafizi yang memperoleh 3,866 undi kalah kepada Nurul Izzah yang mendapat 9,803 undi.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata beliau kekal fokus pada usaha memperkukuh PKR dengan memperkenalkan latihan wajib khusus kepada semua pemimpin parti tentang undang-undang berkaitan pengubahan wang haram, rasuah dan pematuhan cukai sebagai langkah awal.

Katanya, langkah itu penting untuk mengelakkan usaha membudayakan politik wang dan salah laku serta memastikan semua pimpinan memahami tanggungjawab dan memelihara integriti mereka.

“Kami akan terus memastikan pimpinan tertinggi parti sentiasa dipantau dengan baik, dan saya berazam untuk memastikan kerja-kerja penting terus dilaksanakan.

“Tanggungjawab kita untuk sentiasa saling mengingatkan bahawa kita tidak boleh lari daripada nilai dan prinsip yang kita pegang dan perjuangan selama ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.