Kepakaran EU mampu realisasi inisiatif tenaga Asean, kata utusan

Kepakaran EU mampu realisasi inisiatif tenaga Asean, kata utusan

Rafael Daerr berkata pertukaran antara dua rantau itu juga membuka jalan kepada sistem tenaga lebih stabil, cekap, dan mampan di seluruh Asean.

Rafael Daerr
Rafael Daerr berkata, EU juga mempunyai kepakaran teknologi seperti pembangunan kabel bawah laut untuk dimanfaat Asean.
PETALING JAYA:
Tenaga menjadi kekuatan Kesatuan Eropah (EU) yang boleh membantu Asean, selain blok itu berkongsi pengalaman berdekad lamanya membangunkan sistem antarhubung tenaga hijau, kata Duta Besar EU ke Malaysia, Rafael Daerr.

Daerr berkata sebagai contoh, EU berada pada kedudukan tepat membantu inisiatif Grid Kuasa Asean (APG) dengan berkongsi kepakaran pengalaman kawal selia dan teknikal.

APG merupakan inisiatif diperkenal pada 1997 bagi menghubungkan infrastruktur merentasi rantau Asean, sasaran integrasi penuh menjelang 2045.

“Kami mempunyai pengalaman berharga untuk berkongsi daripada sudut kawal selia kerana telah mengintegrasikan pasaran yang dulunya agak terpencil.

“Kami juga mempunyai kepakaran teknologi, terutama dalam pembangunan kabel bawah laut, di mana kami mempunyai pengetahuan dan teknologi,” katanya.

Daerr berkata, pertukaran bersama antara Asean dan EU juga akan membawa banyak manfaat, dan mampu membuka jalan ke arah sistem tenaga lebih stabil, cekap, dan mampan di seluruh Asean.

Sejak 1990-an, EU membina kesatuan pasaran tenaga yang menghubungkan grid nasional, sekali gus membolehkan perdagangan elektrik rentas sempadan.

Dikendalikan Rangkaian Pengendali Sistem Penghantaran Elektrik Eropah (ENTSO-E), grid elektrik EU merupakan antara yang paling luas dan bersepadu di dunia, merangkumi lebih daripada 11 juta km dalam rangkaian disepadukan kepada semua 27 negara anggota EU.

APG adalah inisiatif Asean bertujuan menggalakkan perdagangan kuasa multilateral menerusi sambungan rentas sempadan.

Ia menjadi sebahagian penting bagi rancangan Asean memperkukuh keselamatan tenaga, mempelbagaikan sumber, dan memacu pengalihan rantau ini kepada tenaga boleh baharu.

Pada Ahad, Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Zafrul Aziz, berkata rundingan mengenai perjanjian memorandum diperkukuh bagi APG dijangka dimuktamad dan ditandatangani pada Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga Asean ke 43, Oktober ini.

Katanya, menteri ekonomi Asean juga mengalu-alukan usaha sedang dijalankan ke arah penubuhan Kerangka Kemudahan Pembiayaan APG, di mana akan meningkatkan aliran pelaburan langsung asing rentas sempadan, serta membuka peluang pembiayaan baharu bagi projek berkaitan tenaga di peringkat serantau.

Di sela-sela Sidang Kemuncak Asean ke-46, Malaysia, Singapura, dan Vietnam bersetuju untuk bersama meneroka eksport tenaga boleh diperbaharui dalam satu perjanjian ditandatangani syarikat berkaitan kerajaan mereka bagi kerjasama membangunkan sambungan elektrik baharu.

Kerjasama itu melibatkan sebuah konsortium terdiri Sembcorp Utilities — anak syarikat milik penuh Sembcorp Industries yang berpusat di Singapura — dan PetroVietnam Technical Services Corporation, sebuah anggota Kumpulan Industri dan Tenaga Vietnam.

Dua firma tersebut bekerjasama dengan Malaysia’s MY Energy Consortium, entiti bukan korporat dibentuk syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat minyak negara, Petronas.

Mengikut perjanjian, rakan kerjasama akan menilai kebolehlaksanaan penghantaran tenaga boleh baharu dari Vietnam ke Malaysia serta Singapura, melalui kabel bawah laut baharu melintasi grid nasional Semenanjung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.