Buktikan label ‘pecah belah’, DAP Sarawak beritahu Sim

Buktikan label ‘pecah belah’, DAP Sarawak beritahu Sim

Semalam Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Kui Hian berkata kestabilan politik berpanjangan disebabkan DAP tidak pernah menjadi sebahagian kerajaan negeri.

Violet Yong
Setiausaha DAP Sarawak Violet Yong berkata kesediaan SUPP bekerjasama dengan PAS bawah kerajaan PN tidak sejajar nilai berbilang budaya Sarawak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
DAP Sarawak mencabar Timbalan Premier, Dr Sim Kui Hian membuktikan dakwaan parti itu ‘memecahbelahkan’.

Setiausaha DAP Sarawak, Violet Yong, mengingatkan Sim bahawa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pimpinannya bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan komponen berpengaruhnya, PAS apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih bekerjasama dengan PN pada 2020.

Beliau berkata, ini membuktikan SUPP sedia bekerjasama dengan ‘pelampau’ yang agendanya bertentangan nilai berbilang budaya Sarawak.

“Keputusan itu sahaja menunjukkan keutamaan mereka dan kompromi yang mereka sanggup buat atas nama kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan.

“Saya cabar Dr Sim tunjuk contoh di mana DAP pernah memecahbelahkan rakyat Sarawak. Bilakah kita pernah bermain politik kaum atau agama? Jawapannya tidak pernah.”

Semalam, Sim dipetik Dayak Daily berkata, kestabilan politik berpanjangan di Sarawak disebabkan DAP tidak pernah menjadi sebahagian kerajaan negeri dan parti itu memecahbelahkan.

Yong yang juga Adun Pending mendakwa, kenyataan Sim ‘jahil politik’ dan menyifatkannya ‘penghinaan’ terhadap asas demokrasi berparlimen.

Beliau berkata, DAP yang hanya memenangi dua daripada 82 kerusi pada PRN lalu menerima keputusan itu dan berusaha menjadi pembangkang berkesan melalui semak dan imbang.

“Itulah inti pati demokrasi – bukan ketaatan buta kepada mereka yang berkuasa, tetapi perkhidmatan berprinsip kepada rakyat.

“Kestabilan politik sebenar dicapai apabila setiap suara didengari, kuasa dipertanggungjawabkan dan tadbir urus inklusif – bukan apabila pemerintah elit dilindungi daripada penelitian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.