
Ini kerana, katanya, Malaysia sering dilihat peneraju dalam industri halal dan mereka juga mahu negara berkongsi pengalaman serta isu teknikal berkaitan.
“Industri halal bukan saja dari segi makanan dan minuman, tetapi juga logistik, farmaseutikal dan sebagainya. Ia merentasi bukan saja negara Islam dan menjadi satu idea yang mana industri halal ini dapat meningkatkan pendapatan rakyat dan negara,” katanya selepas Forum Ekonomi Asean-GCC 2025 di sini.
Sebagai ekonomi terbuka, Tengku Zafrul berkata, Malaysia perlu meningkatkan penglibatan dalam blok baharu untuk mendepani cabaran geopolitik dan ekonomi global.
“Kita telah mengumumkan contohnya Isnin lepas, Malaysia dan GCC akan mulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA), pada masa sama kita juga berbincang bidang sektor baharu dengan China.
“Asean pun kita telah memuktamadkan perbincangan FTA Asean-China dalam beberapa bidang baharu, ada ‘chapter’ (bahagian) baharu dalam FTA yang kita perkenalkan dari segi ekonomi hijau, rantaian bekalan, ekonomi digital dan sebagainya.”
Beliau turut menyambut baik kenyataan bersama Asean, GCC dan China yang menyuarakan komitmen meningkatkan hubungan perdagangan serta pelaburan, selain perbincangan mendalam antara pemimpin dalam pelbagai sektor, termasuk ekonomi hijau, ekonomi digital dan industri halal.
“Banyak yang dibangkitkan mengenai bagaimana kita nak membangunkan juga industri halal antara Asean dan GCC, selain ekonomi digital, ekonomi hijau dan sebagainya.”