7 negeri catat pertumbuhan dagangan positif, sumbang RM219.4 bilion pada April

7 negeri catat pertumbuhan dagangan positif, sumbang RM219.4 bilion pada April

Prestasi eksport bernilai RM133.6 bilion pada April, meningkat RM18.9 bilion atau 16.4% daripada bulan sama tahun sebelumnya.

Port Klang
Malaysia mencatatkan jumlah dagangan bernilai RM261.9 bilion pada April 2025.
KUALA LUMPUR:
Jumlah dagangan bagi tujuh negeri mencatat pertumbuhan positif iaitu mencecah RM219.4 bilion pada April 2025, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi eksport bernilai RM133.6 bilion pada April 2025, meningkat sebanyak RM18.9 bilion atau 16.4% daripada bulan sama tahun sebelumnya.

Katanya, peningkatan eksport dipengaruhi oleh eksport lebih tinggi di kebanyakan negeri.

Negeri yang mencatat pertumbuhan eksport iaitu Pulau Pinang (RM14.5 bilion), Johor (RM3.0 bilion), Selangor (RM3.0 bilion), Perak (RM286.5 juta), Negeri Sembilan (RM196.4 juta), Melaka (RM171.8 juta), Pahang (RM107.0 juta) dan Perlis (RM9.4 juta).

Bagaimanapun, katanya nilai eksport menurun di Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur sebanyak RM1.2 billion, Terengganu (RM783.2 juta), Sarawak (RM313.6 juta), Kedah (RM228.7 juta), Kelantan (RM96.4 juta), WP Labuan (RM33.1 juta) dan Sabah (RM22.6 juta).

Uzir berkata, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 36.7% diikuti Johor (19.7%), Selangor (18.2%), Sarawak (6.9%) dan WP Kuala Lumpur (3.2%).

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Uzir memaklumkan import pada April 2025 meningkat RM21.4 bilion (20.0%) kepada RM128.4 bilion daripada bulan sama pada 2024.

Peningkatan import, katanya disebabkan oleh import lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Selangor (RM9.0 bilion), Pulau Pinang (RM6.9 bilion), Kuala Lumpur (RM5.3 bilion), Johor (RM1.4 bilion), Perak (RM303.1 juta), Kedah (RM105.9 juta), Kelantan (RM39.7 juta) dan Sabah (RM27.9 juta).

Bagaimanapun, nilai import menurun di Pahang sebanyak RM794.8 juta, Melaka (RM674.4 juta), Negeri Sembilan (RM526.1 juta), Sarawak (RM306.8 juta), Terengganu (RM130.5 juta), Labuan (RM79.9 juta) dan Perlis (RM3.7 juta).

“Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 29.7% diikuti Pulau Pinang (22.9%), Johor (19.1%), Kuala Lumpur (10.4%) dan Kedah (5.0%),” katanya.

Malaysia mencatatkan jumlah dagangan bernilai RM261.9 bilion pada April 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.