Polis siapkan kertas cadangan haram jual vape di Melaka

Polis siapkan kertas cadangan haram jual vape di Melaka

Pengharaman penjualan vape ini akan dicadangkan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat.

vape
Beberapa negeri ambil langkah mengharamkan penjualan vape secara menyeluruh sebagai langkah pencegahan penyalahgunaan bahan terlarang.
MELAKA:
Polis dalam proses menyiapkan kertas cadangan kepada kerajaan negeri supaya mengharamkan penjualan vape sebagai usaha membendung ancaman dadah sintetik yang disalahgunakan menerusi penggunaan rokok elektronik.

Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata langkah itu diambil susulan beberapa kes tangkapan yang dilakukan mendapati cecair vape mengandungi bahan terlarang termasuk ketamin, selain kebimbangan terhadap peningkatan penyalahgunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah dan orang dewasa.

“Kita masih dalam proses menyiapkan kertas kerja dan pengharaman penjualan vape ini akan dicadangkan dalam masa terdekat.

“Langkah ini diambil kerana kita sedar akan implikasinya terhadap masyarakat termasuk memberi kesan terhadap kesihatan dan sosial, khususnya dalam kalangan remaja yang boleh terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang akhbar di IPK Melaka.

Kertas cadangan itu juga akan mengupas beberapa aspek termasuk kesan sampingan penggunaan vape, peningkatan trend penggunaannya dalam kalangan pelajar serta alasan pengharaman penjualan rokok elektronik berkenaan.

Ia juga akan mengambil kira impak ekonomi terhadap masyarakat sekiranya penjualan vape dihentikan serta-merta.

Polis akan berbincang dengan kerajaan negeri dan Agensi Antidadah Kebangsaan bagi membentangkan kertas cadangan itu.

Cadangan itu juga bertepatan dengan saranan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay pada bulan lepas.

Setakat ini beberapa negeri mengambil langkah mengharamkan penjualan vape secara menyeluruh sebagai langkah pencegahan penyalahgunaan bahan terlarang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.