
Bercakap kepada FMT di luar Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan mesyuarat berkaitan di sini, Nazir berkata beliau pada awalnya terinspirasi oleh aspirasi berani yang digariskan dalam Piagam Asean sewaktu ia diguna pakai pada 2007.
Namun semakin lama, beliau akhirnya percaya bahawa pendekatan lebih sederhana dan bersasar dilihat lebih baik bagi rantau ini.
“Kita dulu fikir apabila Asean ‘dewasa’, kita mahu jadi seperti Kesatuan Eropah, tapi itu bukan model yang sesuai untuk kita,” katanya.
“Asean berfungsi paling baik apabila kita tidak cuba buat lonjakan besar dan bercita-cita tinggi yang akhirnya tidak banyak dicapai. Sebaliknya, ambil langkah konkrit, kecil, dan bergerak ke hadapan.”
Pandangan Nazir hadir di tengah-tengah ketidaktentuan global, termasuk gelombang perlindungan perdagangan dan ancaman tarif yang mula diperkenalkan Amerika Syarikat (AS) pada April lalu.
Perniagaan di rantau ini semakin gusar dengan halangan perdagangan dan pelaburan yang meningkat, serta menggesa kerajaan tampil dengan pelan jelas dalam mengharungi ketegangan geopolitik, terutamanya yang memaksa syarikat memilih antara pasaran AS dan China.
“Saya rasa dunia kini menerima hakikat bahawa pasaran bebas tanpa halangan sepenuhnya bukan lagi satu realiti, dan kita dalam Asean juga akur bahawa kita semua ada keutamaan politik domestik masing-masing,” katanya.
“Akan ada sekatan, tapi sekarang ia lebih diterima berbanding dahulu.”
Namun, kata Nazir, rundingan perjanjian perdagangan yang tepat, termasuk dengan AS berhubung halangan bukan tarif, adalah strategi penting dalam menghadapi cabaran tersebut.
“Ia soal merundingkan perjanjian yang betul, dan dalam konteks hubungan Malaysia-AS contohnya, ada perbincangan berkenaan pelbagai langkah bukan tarif dan cara mengurangkannya,” katanya.
Tekanan dan sekatan global ini turut mendorong negara anggota Asean untuk menilai semula kebergantungan terhadap rakan dagang tradisional dan mula meneroka perdagangan intra-Asean serta kerjasama Selatan-Selatan.
Dalam konteks memperkukuh ekonomi serantau, Nazir berkata Asean kini semakin menjadi destinasi yang menarik, terutama dalam persekitaran geopolitik yang sedang berubah.
Beliau juga menggesa perniagaan untuk mempelbagaikan pasaran mereka memandangkan rakan dagang tradisional seperti AS mula mengenakan sekatan perdagangan baharu.
“Kita selama ini terlalu bergantung kepada pasaran besar seperti AS, dan mungkin sebab itu kita kurang meneroka peluang di tempat lain,” katanya.
“Bukan sahaja China, tapi juga India, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan negara-negara di Selatan lain.”
Katanya, walaupun kerajaan boleh membuka jalan melalui diplomasi dan perjanjian perdagangan, namun akhirnya sektor swasta yang perlu pergi dan mencari pasaran baharu jika pasaran lain tutup.