GCC sasar dagangan RM757 bilion dengan Asean menjelang 2032

GCC sasar dagangan RM757 bilion dengan Asean menjelang 2032

Putera Mahkota Kuwait puji momentum perdagangan kukuh antara GCC dan Asean yang pada 2023 merekodkan USD130.7 bilion (RM550.2 bilion).

Sheikh Sabah Al-Khaled Al-Sabah
Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah bercakap pada Sidang Kemuncak Asean-GCC ke-2 hari ini.
KUALA LUMPUR:
Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menjangkakan perdagangan dua hala dengan Asean mencecah USD180 bilion (RM757 bilion) menjelang 2032, sejajar usaha pengukuhan kerjasama ekonomi dan mempercepatkan rundingan untuk perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Pengerusi GCC tahun ini, Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Khaled Al-Hamad Al-Sabah berkata jumlah perdagangan mencecah USD130.7 bilion (RM550.2 bilion) pada 2023, menjadikan GCC rakan dagang ketujuh terbesar Asean.

“Jumlah peluang antara kedua-dua pihak amat besar, dan kemajuan semasa mengesahkan kita berada di landasan betul,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Asean-GCC ke-2 di sini hari ini.

Pengerusi GCC itu turut menyuarakan keyakinan terhadap rundingan FTA yang sedang berlangsung dengan Asean, yang menurutnya akan ‘mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan dan menyokong rantaian bekalan serantau’.

Selain perdagangan, Sheikh Sabah berkata GCC bersedia berkongsi kepakaran dalam tenaga bersih dan boleh diperbaharui termasuk pengeluaran hidrogen hijau, teknologi rendah karbon dan inisiatif kecekapan tenaga, selaras dengan Perjanjian Paris.

Beliau turut mencadangkan kerjasama lebih erat dalam ekonomi digital, termasuk dalam kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, teknologi kewangan, dan e-dagang bagi membantu kedua-dua rantau membina infrastruktur masa depan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapan pembukaan sebagai pengerusi Asean, menyifatkan sidang kemuncak itu sebagai ‘luar biasa dan satu detik kepercayaan serta persahabatan yang jarang berlaku antara dua rantau dinamik.

“Ini, dalam pengalaman kami di rantau ini, amat luar biasa – dapat menghimpunkan bukan sahaja pemimpin Asean tetapi juga negara GCC yang paling dinamik ke rantau ini… untuk bekerjasama, membina kepercayaan, kerjasama dan persahabatan sejati,” katanya.

Sheikh Sabah turut menyentuh nilai bersama dan solidariti politik, khususnya berkaitan krisis di Gaza, dan menggesa tekanan antarabangsa yang lebih besar untuk menghentikan pencerobohan Israel.

“Kami merakamkan penghargaan kepada negara-negara Asean atas pendirian berprinsip dan bersatu dalam isu Palestin.

“Kami menegaskan keperluan menggandakan usaha bagi menamatkan perang di Gaza serta menyokong hak sah rakyat Palestin,” katanya.

Anwar turut menyatakan sokongan, dengan berkata situasi di Gaza ‘menjadi luka di hati kami’.

“Saya berkongsi perasaan yang disuarakan oleh putera mahkota. Ramai antara kami telah bersuara lantang mengenai isu Palestin-Gaza dan kami bersama anda mengharapkan penyelesaian muktamad,” katanya sebagai maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.