Amorim rasai aura ‘paling positif’ ketika aksi terakhir Old Trafford

Amorim rasai aura ‘paling positif’ ketika aksi terakhir Old Trafford

Pengendali Manchester United berkata penerimaan penyokong di gelanggang itu bukti mereka masih percaya kelab itu mampu berubah.

Ketua Jurulatih Manchester United Ruben Amorim secara terbuka memohon maaf kepada penyokong kelab pada aksi terakhir musim ini di Old Trafford pada Ahad. (Gambar EPA Image)
KUALA LUMPUR:
Ketua Jurulatih Manchester United Ruben Amorim berkata perihal ‘paling positif ‘ dalam musim penuh mencabar bagi Red Devils dirasakan ketika aksi terakhir di Old Trafford.

“Perasaan dalam stadium bahawa kelab ini benar-benar hidup dan keyakinan kuat kami boleh mengubah keadaan. Itulah perkara perihal paling positif,” katanya pada sidang media menjelang pertemuan United menentang Asean All-Stars esok.

Amorim berkata, United menempuh musim sukarnya kerana ketiadaan trofi dan kedudukan tidak memberangsangkan dalam saingan liga domestik.

United kali terakhir mengangkat trofi pada Mei 2024 selepas menumpaskan Manchester City 2-1 pada Piala FA, di bawah Erik Ten Hag.

Musim ini, berakhir dengan penuh kekecewaan sekadar menduduki tempat ke-15, paling terendah dalam Liga Perdana Inggeris.

Susulan aksi terakhir United musim ini pada Ahad, yang mana pasukan itu menewaskan Aston Villa, Amorim secara terbuka memohon maaf kepada penyokong.

Beliau berjanji ‘hari lebih cerah akan tiba’, sambil menambah United antara kelab dunia yang pernah membuktikan pada masa lalu ia mampu menelusuri sebarang situasi.

Amorim berkata, beliau merasakan United sedang bertambah baik sebagai satu pasukan.

“Kami kurang menjaringkan gol sekali gus menyulitkan kami dalam banyak perlawanan, tetapi kami sedang memperbaiki beberapa aspek permainan.

“Namun, jika ada harus memilih sesuatu positif, ia adalah perasaan dalam stadium bersama rakan-rakan di mana mereka percaya kami boleh mengatasi segala-galanya.”

Amorim turut memuji penyokong yang ‘luar biasa’, sama ada di Old Trafford atau di mana sahaja bahagian lain di dunia.

“Tak kira di rantau mana, atau negara, saya dapati semangat untuk kelab ini cukup mengagumkan. Mereka mahu kami menang dan beraksi baik.”

Pembangunan bakat muda

Amorim berkata, wujud keperluan menukar cara pengurusan pemain muda, sambil menyatakan pemain ini kadang kala dilebihkan.

Katanya, ada kalanya, pemain muda ditekan terlalu tinggi pada awal, dengan menggambarkan tekanan sedemikian terlalu sukar diserap.

“Anda perlu (menangani) media sosial, anda juga berdepan segala tekanan membelenggu anak muda yang kadang-kadang sukar untuk dikawal,” katanya ketika ditanya sama ada terdapat pemain muda menonjol yang ingin diperkenalkan dalam pasukan senior.

Sebagai ketua jurulatih, Amorim berkata tugasnya adalah menyediakan alat dan peluang kepada pemain muda termasuk ‘melindungi mereka’ kerana United merupakan kelab besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.